CelcomDigi hari ini memperbaharui pelan prabayar mereka dengan menggugurkan nama Xpax Prepaid dan Digi Prepaid, menggantikannya kepada CelcomDigi Prepaid 5G Edisi Biru dan Edisi Kuning. Perkara utama yang ingin ditekankan adalah pelan prabayar CelcomDigi kini memiliki akses 5G percuma, tanpa bayaran tambahan walaupun untuk pelan yang murah.
Pelan baru CelcomDigi Prepaid 5G ini akan ditawarkan kepada orang ramai mulai 1 Mac 2024. Kedua-dua edisi menawarkan dua pelan, berharga RM25 dan RM39 sebulan. Pelan baru ini juga menggantikan pelan prabayar 5G Celcom dan Digi yang diperkenal Ogos tahun lepas dalam satu pelan sahaja, berharga RM48/bulan.
CelcomDigi Prepaid 5G Edisi Biru
Prabayar baru dalam Edisi Biru ini menyediakan internet tanpa had tetapi dengan data berkelajuan tinggi. Hotspot dibenarkan berkelajuan tinggi, tetapi dengan kuota berasingan. Panggilan tanpa had juga diberikan kepada semua pelan.
Pelan paling murah berharga RM25/bulan. Ia datang bersama kuota berkelajuan tinggi sebanyak 15GB, tetapi disekat kelajuan kepada 100Mbps. Selepas habis kuota ini, pengguna boleh menikmati internet tanpa had dengan kelajuan perlahan 1Mbps. Kuota hotspot pula diberikan sebanyak 3GB.
Pelan kedua berharga RM39/bulan, disertakan kuota berkelajuan tinggi sebanyak 55GB, juga kelajuan disekat ke 100Mbps. Selepas habis data ini, internet tanpa had boleh dinikmati dengan kelajuan perlahan 3Mbps. Kuota hotspot juga sama banyak, hanya 3GB.
Tetapi sebagai promosi pengenalan, dari 1 Mac sehingga 30 Jun 2024, pengguna pelan RM39/bulan akan menerima data bonus berkelajuan tinggi 10GB, menjadikan jumlah data kepada 65GB. Kuota hotspot turut diganda 5X menjadi 15GB.
CelcomDigi Prepaid 5G Edisi Kuning
Pengguna yang lebih suka banyak data berkelajuan tinggi dan tidak perlukan data tanpa had yang perlahan, sesuai melanggan Edisi Kuning. Perlu diingatkan, kuota biasa berkelajuan tinggi hanya boleh digunakan untuk peranti sahaja. Untuk berkongsi data secara hotspot, ada kuota berasingan disediakan.
Pelan termurah Edisi Kuning berharga RM25/bulan memberikan data berkelajuan tinggi (kelajuan disekat 100Mbps) sebanyak 30GB dan kuota hotspot 6GB. Tetapi sebagai promosi pengenalan dari 1 Mac hingga 30 Jun 2024, pelanggan pelan RM25 akan menerima data sebanyak 40GB dan kuota hotspot 30GB.
Pelan lebih mahal RM39/bulan pula menyediakan data berkelajuan tinggi (kelajuan disekat 100Mbps) sebanyak 75GB dan kuota hotspot 6GB. Sama juga, promosi pengenalan dari 1 Mac hingga 30 Jun 2024, memberikan pelanggan bonus data 10GB menjadi 85GB dan kuota hotspot diganda menjadi 30GB.
Tambah lebih data dengan One Time Pass
Jika data berkelajuan tinggi tidak mencukupi, pengguna boleh menambah data dengan One Time Pass. Terdapat data harian dan data mingguan. Walaupun ia berkelajuan tinggi, kelajuan disekat ke 100Mbps sahaja.
Pas harian dari RM3/hari untuk 3GB dan RM6 3 hari dengan 9GB. Pelan minggu pula berharga RM12 7 hari dengan 20GB. Khas sebagai promosi masa terhad, CelcomDigi menawarkan pas sejam berharga RM1 dengan kuota tanpa had, tetapi kelajuan hanya sehingga 100Mbps.
Adakah pelan lama prabayar Celcom dan Digi dapat akses 5G?
Kami ada bertanyakan tentang pelan lama prabayar Celcom dan Digi. CelcomDigi menjelaskan, pengguna kini ada pilihan untuk bertukar ke pelan baru yang memberi akses 5G percuma, dengan tawaran lebih menarik. Jika masih mahu kekal dengan pelan lama, pengguna boleh mendapatkan data tambahan dengan 5G. Tiada yuran akses 5G dikenakan.
Sebelum ini, CelcomDigi menawarkan pelan prabayar 5G berharga RM48/bulan menerusi Xpax Prepaid 5G dan Digi Prepaid NEXT 5G 48. Bagi pengguna prabayar Celcom dan Digi dengan pelan bukan 5G, perlu membeli 5G Booster untuk mendapat akses ke rangkaian 5G. Jika tidak melanggan 5G Booster, data sedia ada mereka hanya boleh digunakan di rangkaian 4G sahaja.