Rupa penuh Nothing Phone (2a) telah didedahkan sepenuhnya, walaupun majlis pelancaran masih belum berlangsung. Nothing telah menetapkan tarikh 5 Mac 2024 untuk melancarkan Phone (2a), tetapi kini mereka telah memberitahu tentang jualan awal.
#THE100 Drops
Selepas dilancarkan pada 5 Mac nanti, Nothing Phone (2a) akan dijual dengan unit terhad di beberapa lokasi di seluruh dunia. Antaranya di London, Berlin, Barcelona, Paris, Dubai Singapura, Bangkok dan juga Kuala Lumpur. Bermakna, peminat di Malaysia boleh menjadi antara yang terawal di dunia memiliki Phone (2a).
Untuk Kuala Lumpur, sebanyak 100 unit Phone (2a) akan dijual pada 6 Mac 2024. Nothing sekali lagi bekerjasama dengan pakar fesyen, Crossover di Malaysia seperti pelancaran Nothing Phone (2) dahulu. Jadi, jualan awal 100 unit pada 6 Mac nanti, akan terdapat di cawangan Crossover di Bandar Sunway. Alamat penuhnya:
- Crossover Sunway Pyramid, 3, Jalan PJS 11/15, Bandar Sunway, 46150 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Jualan akan bermula pukul 11 pagi, 6 Mac 2024.
Tetapi bukan itu sahaja, 100 unit pembeli terawal Phone (2a) di sana, akan turut menerima hadiah percuma eksklusif. Antaranya sarung telefon yang tercetak bandar Kuala Lumpur. Hadiah lain pula macam jam pintar CMF Watch Pro, tali jam Crossover, beg kertas Nothing dan ada lagi lain.
Varian 12GB+256GB dijual di Malaysia?
Dalam emel yang dihantar kepada peminat yang mendaftar minat awal Nothing Phone (2a) sebelum ini, Nothing memaklumkan bahawa hadiah di atas diberikan untuk pembelian Nothing Phone (2a) dengan RAM 12GB dan storan 256GB, dan pilihan warna antara Milk atau Black. Adakah ini varian dan warna yang dijual di Malaysia nanti?
Sebelum ini, CEO Nothing iaitu Carl Pei telah mendedahkan bahawa Phone (2a) tidak akan menggunakan cip Mediatek Dimensity 7200 biasa, sebaliknya adalah Dimensity 7200 Pro yang lebih cekap tenaga dan dibina menggunakan proses 4nm generasi kedua TSMC.
Berita tidak rasmi dari alam maya pula menyebut, Phone (2a) akan menggunkan skrin AMOLED HD Penuh 120Hz, dengan lubang kecil di dahi memuatkan kamera hadapan 32MP. Di belakang, ia dilengkapi kamera utama 50MP OIS dengan sensor Samsung ISOCELL S5KG9 dan kamera ultralebar 50MP Samsung ISOCELL JN1.
Phone (2a) dikhabarkan akan dilancar dengan varian RAM 8 atau 12GB, serta storan 128GB atau 256GB. Bateri di dalamnya 5,000mAh dan menyokong pengecasan berwayar 45W. Sistem operasi Nothing OS 2.5.2 berasaskan Android 14 akan digunakan di Phone (2a), serta ia dilengkapi fungsi NFC, Wallpaper AI, serta kalis percikan air IP54.
Ada sumber dalaman mengatakan bahawa Nothing Phone (2a) akan dijual di India di bawah INR25,000 (~RM1,440). Untuk rujukan, Nothing Phone 1 ada dijual pada harga RM1,499 dengan RAM 8GB dan storan 128GB. Adakah Phone (2a) akan lebih murah nanti?
Kita akan ketahui lebih lanjut pada pelancaran 5 Mac nanti, atau pendedahan lebih awal daripada Nothing sendiri.
[Sumber: Nothing]