Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig. Penubuhan tersebut bertujuan memastikan pekerja sektor itu mendapat perlindungan dan manfaat di bawah definisi undang-undang buruh di Malaysia seperti pekerjaan formal lain.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah penubuhan tersebut diambil kerana majoriti besar individu yang bekerja dalam sektor gig adalah belia Bumiputera dan tidak mempunyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem sosial.
Kepentingan Suruhanjaya Pekerja Gig
Suruhanjaya Pekerja Gig bertujuan melindungi hak dan kebajikan 1.12 juta pekerja gig dengan tumpuan untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.
Penubuhan suruhanjaya itu diharap berupaya menyelesaikan pelbagai isu serta menjamin kebajikan kumpulan penghantar (p-hailing) dan pemandu (e-hailing) yang menggerakkan industri tersebut.
Di Malaysia sendiri, ada banyak contoh suruhanjaya sedia ada yang diwujudkan sebagai satu sistem sokongan dan kawal selia. Contohnya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berfungsi membantu mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia. Malah terdapat juga suruhanjaya yang berfungsi untuk mengawal selia pekerja di sektor awam, iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).
Suruhanjaya Pekerja Gig perlu diwujudkan bagi menambah baik perlindungan sosial dan kebajikan pekerja industri p-hailing dan e-hailing, terutamanya melibatkan sistem bayaran yang lebih adil.
Di samping itu, dengan adanya suruhanjaya tersebut ia diharap dapat menangani isu pekerja yang diberhentikan secara tidak munasabah oleh syarikat pengendali masing-masing. Ini kerana ada di antara mereka diberhentikan dalam tempoh 24 jam atau digantung kerja untuk sementara jika terdapat laporan daripada pelanggan tanpa melalui perbicaraan yang adil.
Ketiadaan badan untuk menegakkan nasib pekerja gig menyebabkan pekerjaan gig dianggap bersifat sementara. Malah jika tanpa suruhanjaya itu, pekerja industri p-hailing dan e-hailing tidak boleh mencarum dengan PERKESO seperti yang dilakukan pekerja formal lain.
Dengan adanya Suruhanjaya Pekerja Gig nanti, diharapkan nasib pekerja p-hailing dan e-hailing akan lebih terbela dan terjamin masa depannya.
[Sumber: Berita Harian, Bernama]