Kadangkala, anda mungkin akan pulang lewat dari kerja dan pejam celik, dah hampir waktu nak berbuka. Tak sempat nak beli atau sediakan juadah berbuka. Tambah pula sekarang ramai yang mengadu harga makanan di bazar mahal sangat.
Tetapi, nasib baik di zaman serba canggih ini, anda boleh pesan makanan menerusi aplikasi tanpa perlu keluar rumah, lagi cepat dan mudah.
Lagi menarik sebab sempena bulan Ramadan ini juga, terdapat aplikasi penghantaran makanan yang menawarkan promosi istimewa. Jadi, dalam artikel ini, saya nak senaraikan promosi menarik yang terdapat pada aplikasi untuk anda manfaatkan.
1. Foodpanda
Pasti anda pun biasa gunakan Foodpanda betul tak? Untuk bulan ramadan ini, Foodpanda menawarkan promosi menerusi platform Bekal mereka. Bekal ini merupakan platform yang menjamin penghantaran hanya daripada restoran halal serta diiktiraf oleh JAKIM. Dalam promosi Ramadan ini, Foodpanda memberikan diskaun sebanyak 15% (maksimum diskaun RM6) dengan pembelian minimum RM40 menggunakan kod BEKAL.
Promosi ini berjalan dari 11 Mac hingga 9 April 2024. Disebabkan ianya promosi Ramadan, diskaun ini hanya terpakai untuk pesanan yang dibuat dari jam 3 petang dan selepasnya. Namun, anda perlu tahu juga kod ini hanya boleh digunakan dua kali setiap pelanggan. Untuk gunakannya, semasa di laman pembayaran, anda hanya perlu masukkan kod BEKAL atau tekan sahaja pilihan promosi yang terdapat di bawah.
Anda boleh muat turun aplikasi foodpanda di Apps Store dan juga Play Store.
2. ShopeeFood
ShopeeFood merupakan platform penghantaran dari Shopee juga ada menyediakan promosi menarik sempena bulan Ramadan dalam promosi ‘Ramadan Bersama ShopeeFood’. Promosi ini akan berjalan sepanjang tempoh Ramadan dan Shopee menawarkan diskaun sebanyak RM10 untuk perbelanjaan minimum RM24, dan diskaun lebih banyak pada RM18 dengan pembelian minimum RM50 bagi pembelian penghantaran.
Untuk dapatkan promosi ini, baucar perlulah ditebus terlebih dahulu. Di laman utama ShopeeFood, anda boleh menatal ke kiri pada menu utama di tengah-tengah skrin dan tekan pilihan ‘RAMADAN RM18 OFF’. Setelah itu, anda tebus dua baucar tersebut di bawah pilihan ‘Penghantaran’.
Walau bagaimanapun, baucar ini tidak boleh digunakan sepanjang masa, sebaliknya hanya boleh digunakan dari jam 3 petang hingga 6 petang untuk berbuka puasa, dan juga untuk waktu moreh bermula jam 9 malam hingga 12 pagi. Untuk gunakannya, semasa di halaman pembayaran, anda boleh pilih baucar tersebut di menu baucar/diskaun. Ia juga boleh digunakan dengan semua jenis pembayaran.
Namun, jika restoran yang nak dipesan tidak terlalu jauh dari rumah anda, anda juga boleh memesan makanan secara ‘Pickup’. Ini kerana, ShopeeFood turut menawarkan diskaun 20% (dihadkan pada RM10) untuk pesanan ‘Pickup’. Baucar ini juga boleh ditebus di halaman sama dengan dua baucar untuk penghantaran tadi.
Cara nak gunakannya juga sama, semasa pembayaran, tukar ke pilihan ‘Pickup’ dan pilih baucar diskaun 20% di menu baucar/diskaun.
Jika berminat, anda boleh muat turun aplikasi Shopee di Apps Store dan juga Play Store.
3. NMooMoo
Mungkin anda tidak pernah dengar aplikasi NMooMoo ini. Ia adalah aplikasi penghantaran makanan yang diperkenal pada tahun 2021. Apa yang menariknya, NMooMoo menawarkan banyak baucar dengan potongan harga sehingga 40% sempena Ramadan ini melalui promosi ‘Ceritera Ramadhan Kita’.
Terdapat empat jenis baucar dengan potongan harga dari RM3 hinggalah RM15 mengikut harga minimum pembelian. Diskaun RM3 disediakan untuk pembelian minimum RM15, diskaun RM6 untuk pembelian minimum RM25, diskaun RM8 untuk pembelian minimum RM30 dan diskaun RM15 untuk perbelanjaan minimum RM50.
Bagi mendapatkan kupon ini, anda perlu pilih ‘Promotion’ di halaman utama aplikasi, dan pergi ke bahagian ‘Coupon’. Di situ anda akan nampak empat kupon Ramadan yang tersedia.
Untuk gunakannya, selepas menambah makanan ke dalam troli, di halaman pembayaran, tekan ‘Apply a coupon’, kemudian tekan ‘Use Now’ pada baucar yang anda nak. Anda boleh gunakan baucar ini sepanjang bulan Ramadhan dan ia tidak tertakluk pada masa tertentu. Tetapi pelanggan dihadkan untuk menebus dua baucar sahaja sehari.
Anda boleh muat turun aplikasi NMooMoo di Apps Store dan juga Play Store.
4. GrabFood
Dalam senarai ini, GrabFood menawarkan promosi dengan potongan harga paling sedikit. Bermula sekarang hingga 31 Mac, GrabFood menawarkan diskaun 15% atau RM3 jika berbelanja minimum RM20. Namun, promosi ini hanya boleh digunakan dalam empat transaksi untuk setiap pengguna dan Grab menyatakan terdapat had penebusan harian.
Untuk memanfaatkannya, selepas menambah makanan pada restoran yang terlibat dalam promosi, di bawah pilihan diskaun, pilih piliihan ‘Hungry Deals dan seterusnya anda boleh teruskan dengan pembayaran.
Anda boleh muat turun aplikasi Grab di Apps Store dan juga Play Store.
Dengan adanya promosi sebegini, ia pasti akan memudahkan anda untuk mendapatkan juadah berbuka kalau anda kesuntukan masa. Yang bagusnya, ada aplikasi yang mengehadkan penggunaan baucar pada waktu tertentu untuk mengelakkan orang memesan makanan di siang hari. Setiap aplikasi turut ada promosi menarik tersendiri, tetapi dilihat ShopeeFood berikan diskaun paling banyak dengan potongan sehingga RM18.