Honda Malaysia telah berkongsikan maklumat hala tuju mereka untuk tahun 2024. Antara yang mereka ingin capai pada tahun ini adalah memberi tumpuan pada teknologi e:HEV kerana penjualan varian hibrid kenderaan mereka menunjukkan peningkatan ketara pada tahun sudah. Mereka juga ingin mensasarkan 95,000 jualan kenderaan dalam tahun ini untuk pegang 12.8% pasaran kereta tempahan.
Buat pengetahuan anda, Honda Malaysia telah menduduki tempat pertama untuk 10 tahun berturut-turt pada segi bilangan kenderaan penumpang jenama bukan kebangsaan apabila mencapai 80,000 jualan dalam tahun 2023 tempoh hari.
Berbalik kepada sasaran tahun 2024, anda boleh jangkakan 2 model baharu dilancarkan pada tahun ini namun tidaklah diketahui sama ada kedua-duanya adalah model e:HEV jika merujuk pada penumpuan kepada teknologi hijau yang ingin diberikan oleh Honda. Sekiranya anda rujuk kembali kepada penawaran kenderaan Honda di Malaysia, semua model sudah ada versi e:HEV mereka yang tersendiri kecuali Honda Accord yang telahpun tidak dikemas kini sementara Honda Type-R adalah kereta prestasi tinggi.
Namun, model seperti H-RV dan Honda City Hatchback sudahpun sampai kepada kitaran facelift setiap 2 tahun. Model terbaharu yang dilancarkan Honda adalah CR-V yang dilengkapi enjin hibrid motor berkembar sama seperti Honda Civic.
Bacaan berkaitan
Honda CR-V (2024): Harga varian e:HEV diumum bawah RM200,000
Honda Sensing 360+ terima dua komponen baharu, tambah baik keselamatan pemanduan
Honda AWV, robot pembantu tapak binaan dengan keupayaan mengangkut 408kg beban