Lagi berita Apple ingin memanfaatkan AI untuk produk kepenggunaan mereka. Selepas kami laporkan tentang pengambilalihan DarwinAI tempoh hari, berita terbaru daripada Bloomberg adalah Apple sedang berunding dengan Google dan OpenAI untuk menggunakan AI pada sistem operasi iOS mereka.
Apple ambil alih DarwinAI. Fungsi seakan Galaxy AI pada iPhone 16?
Sekiranya menjadi kenyataan, pemerhati pasaran menjangkakan transaksi gergasi bernilai berbilion dolar akan mengambil tempat. Walaupun tiada perincian tentang garis masa, berkemungkinan besar yang pentas WWDC 2024 anjuran Apple dalam bulan Jun 2024 nanti akan menjadi lokasi sesuai pengumuman di samping pada ketika itu, iOS 18 juga akan diumumkan.
Tentu sekali Apple tidak mahu menunggu lebih lama dan ketinggalan dalam perlumbaan AI di telefon selepas melihat Samsung mengguna pakai Gemini untuk perkasakan Galaxy AI pada siri Galaxy 24 tahun ini. Apple sendiri sedang membangunkan model AI mereka sendiri dan menurut maklumat dalaman, ia dikenali sebagai Ajax GPT. Mungkin kelajuan pembangunan solusi AI tidak sepantas pesaing mereka sehinggakan mereka terpaksa memanfaatkan solusi pihak ketiga buat beberapa ketika.
Tidak mustahil apabila Ajax betul-betul bersedia, ia akan menggantikan solusi pihak ketiga, seperti apa yang berlaku pada CPU Intel pada produk Mac Apple yang digantikan dengan Apple silikon.
Kerjasama Apple dan Google bukanlah sesuatu yang asing. Antara yang sedia ada adalah Google membayar berbilion dolar kepada pesaingnya itu untuk terus jadikan Google Search sebagai enjin carian default di aplikasi Safari.
Sumber: Bloomberg