Menjelang akhir tahun 2023, YouTube telah mula mengawal penggunaan penyekat iklan atau ad blocker. Kini nampaknya mereka cuba menghentikan penggunaan aplikasi pihak ketiga yang tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Melalui halaman sokongan, YouTube telah mengumumkan bahawa mereka akan mula mengambil tindakan tegas terhadap aplikasi yang melanggar terma perkhidmatannya, terutamanya aplikasi yang menyekat iklan.
Ini bukan kali pertama YouTube mengambil tindakan terhadap aplikasi sebegini. Sebelum ini YouTube telah pun memberikan amaran berkaitan penggunaan penyekat iklan dengan memberi notis bahawa mereka akan dihalang menonton selepas 3 video.
Malah YouTube juga telah memperlahankan keseluruhan laman webnya jika terdapat penyekat iklan yang digunakan. Tetapi nampaknya, ia masih tidak berjaya menghalang penggunaan penyekat iklan.
Tindakan tegas YouTube pada aplikasi sekat iklan
Jika anda tidak pasti sama ada aplikasi yang anda gunakan akan terjejas atau tidak, anda akan mengetahuinya tidak lama lagi hanya dengan menonton beberapa video. Ini kerana anda mungkin akan mengalami masalah ‘buffering’ atau menerima mesej ralat yang menyatakan “Kandungan berikut tidak tersedia pada aplikasi ini”.
YouTube menegaskan bahawa hanya aplikasi pihak ketiga yang mematuhi Terma Perkhidmatan API mereka sahaja yang dibenarkan menggunakan API tersebut. Mereka akan mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi platform, pengkarya, dan penonton sekiranya ada aplikasi yang melanggar terma ini.
Berita ini mungkin tidak menyenangkan pengguna yang menonton YouTube melalui aplikasi penyekat iklan, namun YouTube nampaknya tidak akan berundur dalam perjuangan mereka menentang penyekat iklan dalam masa terdekat.
Langgan YouTube Premium
Untuk mengatasi perkara ini, YouTube sekali lagi mencadangkan anda melanggan YouTube Premium tanpa iklan. Kebaikan melanggan Premium? Anda tidak akan lagi melihat sebarang iklan dalam aplikasi mahupun video yang ditonton.
Selain mendapat tontonan tanpa iklan, pengguna akaun Premium turut akan menikmati kelebihan YouTube Music dengan ciri seperti pemain di latar, pemain sambil skrin terpadam serta pemain di luar talian. Dan yang menjadikan pelan ini lebih berbaloi adalah anda turut akan mendapat akses kepada YouTube Music, yang menampilkan lebih daripada 100 juta lagu tanpa iklan.
Jika anda yang berminat dengan YouTube Premium, ia boleh dilanggan dari RM17.90/bulan untuk individu, RM33.90/bulan bagi keluarga atau 6 akaun. Bagi pelajar pula, boleh melanggan pada harga RM10.90/bulan.
[Sumber: YouTube]