Selepas memperkenal iPad Air baru dalam dua saiz, Apple turut melancarkan tablet paling berkuasa mereka, iPad Pro. Ia masih mengekalkan dua pilihan saiz skrin, 11-inci dan 13-inci di dalam badan yang lebih nipis dan ringan daripada sebelumnya. Tetapi perkara paling menarik adalah, pengumuman cip Apple M4 yang diperkenal buat pertama kali akan digunakan di tablet iPad Pro baharu.
Tablet iPad Pro baharu mempamerkan rekaan nipis yang ekstrem. Model 11-inci hanya setebal 5.3mm manakala model 13-inci lebih nipis pada 5.1mm. Kedua-dua model disediakan dalam dua pilihan warna, perak dan hitam yang dihasilkan dalam badan yang diperbuat 100% daripada aluminium kitar semula.
Paparan Paling Canggih di Dunia
Skrin Ultra Retiba XDR, digelar sebagai paparan paling canggih di dunia dipasang pada iPad Pro yang baharu. Ia menggunakan teknologi Tandem OLED, menggabungkan panel OLED untuk cahaya yang lebih cerah. Ini memberikan paparan dengan kecerahan sehingga 1,000 nits untuk kandungan SDR dan HDR, serta kecerahan puncak 1,600 nits bagi kandungan HDR.
Ia ditambah lagi dengan kaca bertekstur nano, menghasilkan gambar berkualiti tinggi di samping mengurangkan silauan cahaya.
Prestasi mengatasi laptop
Apple berjaya menghasilkan iPad Pro yang jauh lebih nipis dari sebelumnya kerana menggunakan cip baru Apple M4. Cip yang dihasilkan dari teknologi 3nm generasi kedua ini, menggunakan tenaga yang lebih rendah untuk kuasa memproses sama seperti Apple M2. Ini menjadikannya kurang menghasilkan haba, sekaligus membenarkan penggunaan badan yang nipis.
Cip Apple M4 di dalam iPad Pro dibina menggunakan arkitektur 10-teras CPU dan 10-teras GPU. Manakala pemproses Enjin Neural di Apple M4 ammpu memproses sehingga 38 trilion oeprasi sesaat, ini 60x lebih pantas berbanding enjin neural pertama di cip A11 Bionic. ia juga dikatakan mengatasi keupayaan pengiraan AI di komputer PC masa kini.
Kamera Pengimbas Dokumen
Kamera di belakang iPad Pro menggabungkan kamera utama 12MP dan pengimbas LIDAR. Apa yang Apple tekankan adalah penggunaan lampu kilat True Tone yang baru. Lampu ini membantu iPad Pro untuk mengimbas dokumen dengan sempurna, menghapuskan bayangan untuk hasil yang jelas dan terang.
Di hadapan, kamera TrueDepth dialihkan ke sisi panjang tablet supaya lebih mesra persidangan video. Ia menggunakan lensa ultra lebar 12MP dengan keupayaan Center Stage, supaya muka subjek sentiasa berada di tengah fokus kamera.
Sokongan Aksesori Pro
Bagi menggandingkan keupayaan yang hebat, Apple menghasilkan Pencil baru yang digelar Pencil Pro. Ia menampilkan fungsi lebih canggih, seperti sokongan putaran, memicit, serta getaran. Apple juga memudahkan Pencip Pro dicari jika terciri, menerusi fungsi Find My.
Untuk mengecas, memadankan dan menyimpan, Pencil Pro boleh dilekat secara magnetik di sisi tablet. Selain itu, iPad Pro juga boleh digunakan bersama Apple Pencil USB-C.
Apple turut memperkenal papan kekunci baharu bagi iPad. Magic Keyboard dengan rekaan terapung kini datang dengan barisan butang kawalan baru. Ia juga dipasang dengan pad sentuh yang lebih besar bersama getaran haptik.
iPad Pro serba baharu ini menjalankan sistem operasi terbaru iPadOS 17. Ia akan ditawarkan dengan storan dari 256GB, 512GB, 1TB dan 2TB, dengan pilihan WiFi sahaj atau WiFi dan selular.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Apple iPad Pro.
[Sumber: Apple]
Bacaan Berkaitan
- iPad Air kini datang dalam saiz 11-inci & 13-inci, sokong Pencil Pro serta Magic Keyboard
- iPad Air, iPad Pro & MacBook Air baharu dijangka tiba bulan Mac atau April?
- iPad Pro OLED dan iPad Air terbesar akan dilancar Apple bulan Mei ini
- Apple Event ‘Let Loose’ dijangka perkenal iPad Pro M3 dan iPad Air baru