Selepas setahun Neta V diperkenalkan, Neta akan lancarkan model EV kedua mereka untuk pasaran Malaysia dan namnya ialah Neta X. Ia dipamerkan kepada umum di Malaysia Autoshow 2024. Neta X ialah SUV crossover elektrik yang berada dalam kelas seperti BYD Atto 3, Aion Y Plus, MGZS EV, Hyundai Kona Electric, dan yang seangkatan dengannya.
Harga Neta X di Malaysia
Sebanyak 3 varian ditawarkan di Malaysia iaitu 400 Comfort, 400 Luxury, dan 500 Luxury. Harga jualannya adalah bermula RM119,900 dan RM139,900 namun harga khusus untuk setiap varian masih belum dikongsikan.
Mereka adakan promosi tempahan awal di Malaysia Autoshow 2024 sehingga 26 May 2024. Contohnya, anda dapat booking value berganda dan anda juga akan terima wall box ataupun boleh ditukar kepada kredit pengecas ChargEV percuma selama setahun.
Spesifikasi Neta X di Malaysia
Daripada segi spesifikasi, Neta X adalah EV pacuan roda depan dengan motor 120kW (160hp) dan tork setinggi 210Nm. Untuk perbandingan, BYD Atto 3 ada angka 150kW dengan tork setinggi 310Nm.Dengan motor elektrik itu, ia boleh pecut daripada 0 kepada 100km/j dalam masa 9.5 saat dengan kelajuan maksimum mencapai 150km/j.
Jarak kembara varian 400 diiklankan pada 400km mengikut piawaian NEDC berbekalkan tangki bateri 52.49kWh sementara varian 500 pada 501km dengan bateri 64.14kWh. Bila perlu dicas, ia menyokong pengecasan AC 6.6kW tapi maklumat pengecasan DC tidak dinyatakan, daripada 30% kepada 80% mengambil masa 30 minit. Berkemungkinan besar input yang diterimanya adalah sekitar 50-60kW.
Di bahagian dalam, Neta X ada skrin besar 15.6″ Full HD yang dikuasakan Qualcomm Snapdragon 8155, cip yang sama pada Chery Omoda E5. Sistem ADAS-nya jauh lebih lengkap berbanding Neta V termasuklah kamera keliling 360 darjah.
Pada harga bermula RM119,000 ia sepatutnya antara SUV crossover elektrik termurah boleh anda dapatkan dalam pasaran Malaysia. Berkunjunglah ke MAEPS Serdang dan sertai Malaysia Autoshow 2024 yang berlangsung sehingga 26 May 2024 ini.