Realme hari ini mengesahkan akan melancar telefon pintar kelas flagship baru mereka tidak lama lagi. Terdapat dua model akan diperkenal di bawah siri Realme GT 6 ini iaitu, Realme GT 6 dan Realme GT 6T.
Pelancaran ini akan diadakan pada hari Khamis, 20 Jun 2024 di Milan, Italy pukul 10 pagi di sana. Ia bersamaan dengan pukul 4 petang di Malaysia. Menurut Realme Malaysia, pelancaran ini bukan sahaja untuk pentas global, tetapi juga merangkumi pelancaran di Malaysia. Pasti kita akan mengetahui tarikh jualan, harga rasmi dan promosi untuk siri Realme GT 6 di Malaysia nanti.
Siri Realme GT 6 disasarkan untuk pengguna muda, bakal menampilkan kuasa NEXT AI berprestasi tinggi. Malah, Realme tidak segan silu menggelar siri GT 6 sebagai pembunuh peranti flagship.
Realme turut menyatakan siri GT 6 hadir dengan skrin LTPO 8T, memiliki kecerahan puncak setinggi 6,000 nits, paling cerah pernah ada di telefon pintar. Skrin ini turut diiktiraf dengan sijil ‘SGS Five-Star Sunlight-Readable’.
Prestasi Flagship & Ciri Next AI
Walaupun belum berkongsi sepenuhnya spesifikasi Realme GT 6, sudah ada maklumat terbocor tentangnya. Antaranya, kuasa NEXT AI di siri GT 6 menyentuh empat perkara iaitu AI Night Vision, AI Smart Loop, AI Smart Removal dan AI Smart Search.
Selain itu, Realme GT 6 dikhabarkan akan diperkasa cip Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3, bersama sistem operasi Android 14 serta memiliki RAM sehingga 16GB. Ia akan dikuasakan bateri 5,500mAh dan menyokong pengecasan pantas SUPERVOOC 120W.
Dari gambaran yang telah dikongsi Realme sendiri, Realme GT 6 akan datang dalam warna perak dengan tiga kamera belakang. Manakala Realme GT 6T berwarna hijau, dengan hanya dua kamera belakang. Kedua-dua model menggunakan kamera utama 50MP.
Adakah pembunuh flagship baru ini akan datang dengan prestasi tinggi dan harga yang murah? Nantikan laporan kami pada 20 Jun kelak.