Sewaktu persidangan WWDC24, Apple telah mengumumkan iOS 18 dan ia membawakan banyak perkara baharu dengan menawarkan lebih banyak penyesuaian, serta pembaharuan pada aplikasi Photos, Message dan Safari. Selain itu, Apple juga telah meningkatkan privasi serta buat pertama kalinya memperkenalkan generatif AI pada iPhone dengan Apple Intelligence.
Ciri penyesuaian lebih fleksibel
Antara ciri paling dinantikan pengguna adalah penyesuaian antaramuka yang lebih fleksibel. Kini, iOS 18 bakal membenarkan anda untuk lakukannya, dengan anda boleh menyusun aplikasi dan widgets di mana-mana ruang kosong di halaman pemuka dan tidak lagi perlu mengikut susunan.
Bukan itu sahaja, ikon aplikasi dan widgets turut boleh diubah suai warnanya dalam warna cerah ataupun gelap, serta pengguna juga boleh mengubah saiz ikon supaya ianya terpapar lebih besar di halaman pemuka.
Selain daripada itu, Control Center memiliki rekaan baharu dengan lebih banyak ciri penyesuaian. Ia kini menyediakan akses pantas pada kawalan penting serta menampilkan lebih banyak panel seperti main balik media, kawalan rumah dan sambungan. Lebih menarik, pengguna ada keupayaan untuk menambah kawalan daripada aplikasi pihak ketiga ke dalam Control Centre.
Buat pertama kalinya, kawalan di bawah Lock Screen kini boleh diubah suai dengan pengguna boleh memilih untuk menukarnya kepada yang lain, atau menghilangkannya terus untuk Lock Screen yang lagi bersih.
Rekaan aplikasi Photos baharu
Aplikasi Photos menerima naik taraf besar pada rekaannya membolehkan pengguna mencari imej dengan lebih mudah. Ia masih memaparkan imej dalam satu grid biasa yang sama, tetapi dengan seksyen baharu apabila anda menatal ke kanan dan ia menunjukkan sorotan hari-hari anda yang dikemas kini setiap hari.
Misalnya, ia akan mepaparkan koleksi imej perjalanan anda ke suatu tempat dalam satu halaman serta dimainkan secara automatik membolehkan untuk menikmati momen tersebut dalam waktu yang sama. Ia juga dikuasakan Apple Intelligence membuatkan pengguna boleh melakukan carian imej atau video.
Messages miliki kesan baru dan sokongan satelit
Seterusnya, pengguna boleh menghantar teks dengan kesan pergerakan atau animasi di aplikasi Messages, menjadikan perbualan lebih hidup. Ia termasuk huruf, perkataan, ayat mahupun emoji. Tambahan pula, pengguna juga boleh mengekspres nada mesej dengan format seperti bold, underline, italic dan strikethrough.
Selain daripada itu, Tapbacks pula dikembangkan untuk semua emoji dan sticker, dan pengguna turut boleh menjadualkan penghantaran mesej untuk dihantar pada masa lain nanti. Lebih menarik, pengguna iPhone boleh bermesej dengan Android kerana menyokong kini menyokong permesejan RCS.
iOS 18 juga memperlihatkan kemampuan permesejan melalui satelit. Ini bermakna, anda boleh menghantar dan menerima teks walaupun berada di luar sambungan selular dan WiFi. Apple turut memaklumkan pengguna turut boleh menghantar dan menerima emoji, Tapbacks di iMessages dan SMS.
Naik taraf Safari dan Game mode
Pelayar Safari juga telah ditambah baik dengan sokongan AI atau Apple memanggilnya machine learning. Dengannya, Safari boleh memaparkan maklumat penting pada sesebuah laman web. Contohnya, pengguna boleh dapatkan ringkasan artikel dan melihat lokasi restoran, hotel atau sesebuah tempat dengan cepat.
Sementara itu, Apple meningkatkan pengalaman gaming pada iPhone dengan Game Mode. Dengan ciri ini, pengguna dapat bermain game dengan lebih lancar dan kadar bingkai lebih konsisten, serta menjadikan aksesori wayarles seperti AirPods dan alat kawalan permainan lebih responsif.
Privasi dipertingkatkan
Kemas kini terbaru iOS 18 juga mempertingkatkan privasi pengguna membolehkan anda mengunci dan menyembunyikan aplikasi, lantas menghindar orang lain yang gunakan telefon anda mengakses kandungan peribadi. Apabila aplikasi dikunci atau disembunyikan, kandungan seperti mesej atau e-mel dalam aplikasi turut akan disembunyikan daripada carian dan notifikasi.
Aplikasi-aplikasi ini tidak akan terpapar di halaman pemuka, tetapi sebaliknya akan diletakkan dalam satu folder di App Library. Untuk mengaksesnya, ia perlukan pengesahan Face ID ataupun kata kunci untuk membolehkan akses dibuka.
Ciri AI yang pelbagai dikuasakan Apple Intelligence
Perkara paling utama pada kemas kini sudah tentulah keupayaan AI, yang Apple memanggilnya sebagai Apple Intelligence. Dengan Apple Intelligence, ia akan menawarkan pengguna beberapa ciri bantuan AI. Ini termasuk untuk ciri Writing Tools yang dapat bantu pengguna untuk menulis atau meringkaskan teks, imej penjanaan AI di Messages dan aplikasi tertentu, dan keupayaan untuk mengesan dan memadam objek di dalam gambar.
Di samping itu, fungsi Siri juga dipertingkatkan lagi dengan Apple Intelligence menjadikan Siri lebih natural, diperibadikan serta memahami konteks lebih baik. Berbanding panggilan suara, anda juga kini boleh berkomunikasi dengan Siri melalui teks.
Ketersediaan iOS 18 dan iPhone yang menyokongnya
Sejurus pengumumannya, iOS 18 beta pembangun telah tersedia melalui Apple Developer Program, dengan diikuti beta awam yang bakal dikeluarkan pada bulan Julai. Untuk pengguna khalayak ramai, iOS 18 akan dilancarkan sekitar September 2024.
Seperti biasa, iOS 18 akan disokong sejumlah iPhone sahaja dan versi terbaru iOS ini bakal serasi untuk iPhone Xs, iPhone XR, iPhone SE generasi ke-2 dan ke atas. Walau bagaimanapun, perlu untuk ditekankan bahawa fungsi AI di Apple Intelligence hanya boleh digunakan pada iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max yang dikuasakan cip Apple A17 Pro.
[Sumber: Apple]