Hari ini Boost Bank mengumumkan tawaran faedah simpanan tertinggi mereka untuk tahap ‘Platinum President with Partner Benefit‘. Sebelum ini, pengguna Boost Bank di tahap ‘Platinum President‘ menikmati kadar faedah harian setinggi 3.6%, dengan tambahan Partner Benefit pengguna boleh menikmati kadar faedah harian 4.0% setahun. Ini lebih tinggi dari tawaran GXBank (3%) dan AEON bank (3.88%).
Untuk menikmati kadar 4% ini, pengguna Boost Bank perlu mematuhi beberapa syarat iaitu:
- Mencapai tahap Platinum President, iaitu menyimpan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.
- Menghubungkan akaun Boost Bank dengan akaun Boost eWallet.
- Berbelanja sekurang-kurangnya sekali sebulan dengan rakan niaga terpilih menggunakan Boost eWallet yang telah dihubungkan dengan Boost Bank.
Selepas memenuhi syarat-syarat di atas, dalam masa 24 jam akan muncul ‘Groceries Jar’ di ruangan Jar. Pengguna Boost Bank harus memasukkan dana ke dalam ‘Groceries Jar’ untuk menikmati kadar faedah harian 4.0% setahun. Sehingga RM25,000 boleh dimasukkan ke dalam ‘Groceries Jar’.
Jika pada bila-bila masa pengguna tidak memenuhi syarat di atas, dana di dalam Groceries Jar akan dipindahkan ke dalam akaun simpanan. Tawaran 4% ini diberikan sehingga 30 September 2024.
Di luar waktu promosi, tahap ‘Platinum President with Partner Benefit’ menawarkan kadar faedah harian 3.6% setahun di Jar dan 2.5% di akaun simpanan.
Buat masa ini, Boost Bank masih belum menawarkan kad debit dan pembayaran menerusi DuitNow QR. Tetapi mereka telah bertanyakan kepada orang ramai tentang pilihan warna kad debit, antara hitam dan merah.
Tawaran Mydin
Salah satu rakan niaga Boost Bank untuk ‘Partner Benefit’ adalah Mydin. Untuk mencapai tahap ini, pengguna perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM50 di Mydin menggunakan Boost eWallet, yang telah dihubungkan ke Boost Bank.
Pengguna Boost Bank boleh mendapatkan pulangan tunai RM10, serta diskaun eksklusif yang berubah setiap minggu. Untuk minggu ini, Mydin menawarkan diskaun untuk Roti Gardenia (RM2), Sardin Myrasa (RM2), Gula Prai 1kg (RM2), Tepung Gandum 850g (RM2) dan sabun pencuci pinggan 800g (RM2).
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Boost Bank dan juga Mydin.