Samsung memaklumkan yang telefon flagship Galaxy S24 Ultra mereka akan digunakan sebagai peranti untuk menyiarkan kandungan Olimpik Paris 2024. Ia akan digunakan terutamanya untuk acara perasmian Olimpik di Sungai Seine dan sukan pelayaran Olimpik nanti.
Ini dijayakan kerjasama Samsung bersama Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Perkhidmatan Penyiaran Olimpik (OBS). Dengan menggunakan Galaxy S24 Ultra sebagai peranti untuk siaran, ini membenarkan penonton untuk mendapatkan perspektif yang lebih dekat semasa berlangsungnya acara-acara ini.
Berkemungkinan Galaxy S24 Ultra dipilih adalah disebabkan ia adalah telefon flagship terhebat Samsung setakat ini, serta menampilkan sistem kamera terbaik berbanding telefon lain dalam siri Galaxy S24. Samsung memaklumkan bahawa lebih daripada 200 unit Galaxy S24 Ultra akan digunakan dan dipasang di hadapan dan sisi kapal atlet sewaktu acara perasmian Olimpik.
Rakaman tersebut kemudiannya akan dikongsi dan distrim melalui rangkaian 5G peribadi oleh Orange, iaitu penyedia perkhidmatan rasmi sukan Olimpik. Selain itu, sejumlah antena 5G turut akan dipasang pihak Orange di sepanjang Sungai Seine untuk memberikan capaian internet yang baik.
Kaedah yang serupa turut akan digunakan semasa sukan pelayaran di Marseille. Telefon Galaxy S24 Ultra akan dipasangkan di setiap bot atlet untuk membolehkan peminat melihat dan merasai sendiri perlumbaan pelayaran. Namun, untuk sukan dengan persekitaran yang lebih mencabar ini, Samsung memanfaatkan penstabilan imej optik pada Galaxy S24 untuk rakaman bebas gegar, serta antena akan dipasang di bot lumba untuk berikan capaian internet yang baik.
Untuk makluman anda, Galaxy S24 Ultra memiliki spesifikasi flagship dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 3, diiktiraf kalis air IP68 serta menggunakan tetapan kuad kamera iaitu kamera utama 200MP, kamera telefoto 10MP dan 50MP, serta kamera ultralebar 12MP. Adalah menarik untuk melihat bagaimana hasil siaran daripada di Galaxy S24 Ultra. Oleh itu, nantikan acara perasmian Olimpik yang akan diadakan pada 26 Julai 2024.
[Sumber: Samsung]