Asus Malaysia baru-baru ini melancarkan laptop berkuasa AI mereka ke Malaysia, Vivobook S 15 dan Zenbook S 16. Seperti namanya, Vivobook S 15 memiliki skrin 15.6-inci manakala Zenbook S 16 adalah laptop ultra-nipis dengan skrin 16-inci.
Walaupun dilancar serentak, tarikh jualan kedua-dua laptop ini adalah berbeza. Bagaimanapun, Asus membuka tempahan awal bagi yang berminat memiliki laptop ini dan menawarkan hadiah menarik.
Harga rasmi
Buat masa ini, Asus Malaysia hanya membawa satu varian untuk pasaran Malaysia dengan harga rasmi seperti berikut:
- Vivobook S 15 (Snapdragon X Elite, LPDDR5X 32GB, SSD PCIe 4.0 1 TB) – RM6,299
- Zenbook S 16 (Ryzen AI 9 HX 370, LPDDR5X 32GB, SSD PCIe 4.0 1 TB) – RM7,999
Vivobook S 15 disediakan dalam warna perak manakala Zenbook S 16 terdapat dalam warna putih. Semua pembelian laptop Vivobook S 15 dan Zenbook S 16 turut disertakan dengan perisian Microsoft Office Home & Student 2021, 1-tahun langganan Microsoft 365 Basic dengan storan awan 1TB, serta 1-tahun langganan anti-virus McAfee.
Ganjaran Tempahan Awal
Bagi pembelian awal, dari 28 Jun hingga 9 Julai 2024, akan turut menerima hadiah percuma bernilai RM698 iaitu pengecas USB GaN 100W 4-port serta jaminan lanjutan tahun kedua. Tempahan awal boleh dibuat atas talian menerusi Stor Rasmi Asus di Shopee, serta di laman e-Store Asus Malaysia.
Dari laman e-Store Asus Malaysia, ia menunjukkan bahawa tempahan Vivobook S 15 akan dihantar mulai 19 Julai 2024 manakala tempahan Zenbook S 16 pula dihantar mulai 30 Julai 2024.
Spesifikasi Vivobook S 15
Asus menjadikan laptop Vivobook S 15 sebagai laptop pertama mereka menggunakan cip Snapdragon X Elite untuk memproses peralatan AI Copilot+ Windows dan juga Asus. Untuk itu juga, Asus meletakkan perkakas tertinggi di dalamnya iaitu RAM LPDDR5X 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 1 TB.
Skrinnya besar, seluas 15.6-inci dengan resolusi 3K dan kadar penyegaran 120Hz, menggunakan paparan Asus Lumina OLED yang sangat cerah, setinggi 600nits. Ia dipadankan dengan sistem bunyi stereo Harman Kardon yang diperkasa teknologi Dolby Atmos.
Badan laptop ini sangat ringan, hanya 1.42kg dengan ketebalan cuma 14.7mm. Ia dilengkapi bateri 70Wh yang mampu memberi tenaga sehingga 18 jam, dan menyokong pengecasan pantas 90W serta pengecasan USB-C di semua port.
Sambungan mencukupi terdapat pada Vivobook S 15 iaitu port USB4 Type-C, USB 3.2 gen1 Type-A, HDMI 2.1, pembaca kad microSD dan jek audio 3.5mm. Ia turut datang dengan sambungan wayarles WiFi 7 dan Bluetooth 5.4.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Asus Vivobook S 15.
Spesifikasi Zenbook S 16
Zenbook adalah laptop lebih premium, dengan badan ultra-nipis diperbuat Ceraluminium. Ia diperkasa cip AMD Ryzen AI 9 HX 370 dengan grafik Radeon 890M, serta RAM LPDDR5X 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 1 TB.
Skrinnya sangat luas dengan fungsi sentuhan sebesar 16-inci dalam resolusi 3K, dengan kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan setinggi 550nits. Sistem bunyi 6-speaker Harman Kardon dipasang padanya, dengan pengiktirafan Dolby Atmos.
Walaupun skrinnya seluas 16-inci, ia memiliki badan serupa laptop 15-inci. Malah, ia adalah laptop 16-inci paling nipis dengan tebal hanya 1.1cm. Baterinya berkapasiti 78Wh dan menyokong pengecasan pantas 65W.
Sambungan yang terdapat padanya seperti port USB4 Type-C, USB 3.2 gen1 Type-A, HDMI 2.1, pembaca kad SD dan jek audio 3.5mm. Ia turut datang dengan sambungan wayarles WiFi 7 dan Bluetooth 5.4.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Asus Zenbook S 16.