CMF oleh Nothing, jenama peranti lebih murah keluaran Nothing, hari ini melancarkan tiga produk baru. Salah satu daripadanya adalah telefon pintar pertama mereka, CMF Phone 1.
Sama seperti telefon Nothing lain, CMF Phone 1 menjalankan sistem operasi Nothing yang sangat lancar. Tetapi ia tiada satu perkara penting, iaitu LED Glyph. Bagaimanapun, ia digantikan dengan sesuatu yang unik dan tiada pada telefon pintar lain.
Harga dan ketersediaan
Nothing akan mula menjual telefon pintar CMF Phone 1 di Malaysia mulai hari Isnin, 15 Julai 2024. Tiada promosi istimewa atau jualan pengenalan terhad, jadi semua orang boleh mendapatkannya pada hari yang sama.
Harga rasmi untuk telefon pintar CMF Phone 1 dan aksesori berkaitan adalah seperti berikut:
- CMF Phone 1 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,099
- Case (Black, Orange, Light Green, Blue) – RM99
- Stand – RM59
- Lanyard – RM59
- Card Case – RM59
Khas untuk pembeli terawal CMF Phone 1, mereka akan turut menerima 1 Case percuma. Ia diberikan selagi stok masih ada. CMF Phone 1 akan terdapat di Lazada, Shopee, DirectD, TMT, URBAN REPUBLIC, Vivid Concepts, Tac Mobile, SS Solution dan Yes5G.
Spesifikasi CMF Phone 1
Kuasa utama CMF Phone 1 digerakkan oleh cip Mediatek Dimensity 7300 5G, dibangunkan melalui proses 4nm TSMC. Ia dipadankan dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Kad microSD turut diterima, sehingga 2TB.
Skrin telefon ini jenis Super AMOLED seluas 6.67-inci, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz. Ia ada kecerahan biasa 700nits dan kecerahan puncak setinggi 2,000nits. Pengimbas capjari ada di dalam skrin.
Lubang kecil di dahi skrin, memuatkan kamera hadapan 16MP. Kelihatan ada dua kamera di belakang, salah satunya kamera utama 50MP dengan sensor Sony F1.8, tiada OIS tetapi dilengkapi EIS dan menyokong Ultra XDR. Lensa kedua dipanggil sensor Portrait, membantu untuk tangkapan gambar potret yang mengaburkan latar.
Bateri di dalamnya berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 33W melalui USB-C. Sistem bunyi hanya mono, dengan speaker terletak di bawah telefon. Sistem operasi di CMF Phone 1 adalah Nothing OS 2.6 berasaskan Android 14. Ia dijamin menerima kemaskini OS sebanyak 2 kali dan kemaskini keselamatan selama 3 tahun.
Keunikan CMF Phone 1 adalah pada penutup belakang telefon yang boleh dibuka. Penutup ini boleh diikat ketat oleh 4 skru serta satu dail besar boleh putar. Apabila dibuka, akan kelihatan bateri yang diikat dengan skru lain. Kelihatan seperti bateri ini boleh diganti sendiri oleh pengguna.
Dengan 4 skru dan 1 dail besar ini, CMF Phone 1 boleh dilengkapi dengan pelbagai jenis penutup belakang. Antaranya sarung penegak (stand), penyangkut lanyard, penyimpan card atau sekadar menukar warna penutup. Pastinya ada banyak penggunaan lain di masa akan datang, terutama sekali powerbank.
Terdapat empat warna boleh dipilih untuk CMF Phone 1 iaitu hitam, oren, hijau dan biru. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk CMF Phone 1.
Bacaan Berkaitan
- CMF Buds dan Neckband Pro dengan ANC dilancar pada harga bermula RM189
- CMF Watch Pro, jam pintar dengan skrin AMOLED sangat besar, boleh buat panggilan & kalis air IP68
- Power 65W GaN, pengecas CMF by Nothing mampu cas 3 peranti serentak termasuk laptop, telefon & jam
- CMF Buds Pro oleh Nothing tiba di Malaysia, fon putik dengan ANC 45db & penarafan IP54
- Nothing lancar subjenama baharu “CMF by Nothing”