Lapangan Terbang Subang (SZB) bakal mengalami transformasi besar dalam tahun ini sehingga 2030 nanti. Ia bermula dengan penyambungan operasi penerbangan penumpang pesawat berenjin jet yang telah dihentikan sejak 26 tahun lalu dek pembukaan KLIA. Bermula 1 Ogos 2024 ini, SZB akan menjadi lapangan terbang satelit kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menangani trafik penumpang antarabangsa serta domestik.
AirAsia, Firefly, dan 3 lain antara yang buka laluan baharu
Menurut perkongsian seorang pengguna di Facebook, dia beroleh butiran lanjut tentang penerbangan baharu apakah yang akan mula beroperasi di SZB seawal 1 Ogos 2024. Sebanyak 5 syarikat akan mula terbang daripada SZB ke pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa.
AirAsia mengoperasikan 8 penerbangan sehari ke Kota Kinabali (BKI) dan Kuching (KCH). Kemudian, baki 4 jenama lain mengoperasikan 2 penerbangan sehari iaitu Firefly, TransNusa, Batik Air, dan Scoot. Untuk makluman, TransNusa dan Scoot masing-masing mengendalikan laluan antarabangsa iaitu ke Jakarta dan ke Singapura.
SZB akan dinaik taraf dengan bangunan baharu
Pengutus juga berkongsikan rancangan pembangunan SZB sehingga tahun 2030 yang terbahagi kepada 2. Fasa pertama yang sedang berjalan sekarang hingga 2027 melibatkan penyediaan kelengkapan di bangunan untuk mengendalikan pesawat berenjin jet serta naik taraf minor untuk mengendalikan peningkatan penumpang.
Fasa kedua antara 2028 hingga 2030 melibatkan pertambahan bangunan dan naik taraf terminal. Kawasan apron iaitu kawasan tempat letak pesawat untuk tujuan naik turun penumpang dan bagasi juga akan diperbaharu. Ia akan mempertingkat keupayaan SZB mengendalikan lebih banyak penumpang.
Berdasarkan komen pengguna dalam utusan yang sama, ada yang menyuarakan kebimbangan yang ruang apron SZB tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan transformasi ini. Hal ini kerana, lapangan terbang itu buat masa ini perlu mempunyai kelengkapan untuk pesawat kipas dan pesawat jet.
Satu lagi isu yang dibangkitkan adalah tentang katering dalam pesawat. Disebabkan tiada kemudahan dapur di SZB, bagaimanakah penyedia perkhidmatan boleh memenuhi keperluan pada segi makanan kepada penumpang.
Ada juga yang menatakan yang satu kekurangan SZB paling ketara adalah ia hanya miliki satu landasan dan perlukan kawal selia sangat ketat. Antara perbandingan yang dilakukan adalah seperti London Gatwick (LGW) dan Mumbai (BOM) yang hanya ada 2 landasan.
Kesan terhadap KLIA dan penduduk Subang/Shah Alam
Pengguna turut menzahirkan kembimbangan yang transformasi SZB hanya akan menjarah trafik KLIA lantas merencatkan pertumbuhan KLIA yang beroperasi di bawah kapasiti walaupun sudah beroperasi lebih 20 tahun.
Ada juga yang melihat positif keputusan ini kerana SZB mempunyai jaringan pengangkutan yang baik kerana ada akses bas dan juga kereta api penumpang untuk menjadi penyambung kepada destinasi akhir penumpang yang baru tiba ataupun ingin terbang keluar daripada SZB.
Satu lagi perkara positif yang dilihat adalah pertumbuhan ekonomi setempat khususnya penduduk sekitar Subang dan Shah Alam.
Sumber: Robert Whatland
Bacaan berkaitan
Lapangan Terbang Subang akan terima kapal terbang jet selepas 26 tahun
Tony mahu AirAsia beroperasi di Subang, tetapi bukan lagi tambang murah