Sewaktu acara Acer Day 2024 yang berlangsung di Plaza Low Yat, Acer Malaysia telah memperkenalkan sebuah laptop terbaru untuk pasaran tempatan, iaitu edisi khas Acer Aspire Lite 14 dengan cip Intel Core i5. Selain cip baharu, varian terbaru ini juga memperagakan corak eksklusif pada bahagian penutup laptop serta menerima naik taraf untuk ada paparan resolusi lebih tinggi.
Harga Acer Aspire Lite 14 dengan Intel Core i5 di Malaysia
Laptop edisi istimewa Acer Aspire Lite 14 dilancarkan di Malaysia pada harga RM2,599 dengan RAM DDR5 16GB dan storan SSD 512GB. Sempena pelancarannya dan Acer Day 2024, laptop ini boleh didapatkan pada harga lebih murah pada RM2,399 kerana Acer menyediakan diskaun sebanyak RM200.
Pembeli juga boleh menebus kredit Touch ‘n Go eWallet bernilai RM150. Setiap pembelian Acer Aspire Lite 14 ini akan didatangkan dengan Microsoft Office Home & Student, serta jaminan selama dua tahun daripada Acer Malaysia.
Spesifikasi Acer Aspire Lite 14
Fizikaliti laptop terbaru ini tidak berubah daripada model sedia ada. Ia masih menggunakan skrin IPS 14-inci dalam nisbah 16:10, tetapi dengan resolusi WQXGA+ 2.2K. Kadar penyegaran skrin adalah 60Hz. Laptop ini juga ada tahap mudah alih tinggi kerana memiliki berat hanya 1.5kg dan senipis 16.9mm. Namun, satu perkara baharu adalah pada bahagian penutupnya yang memiliki corak menarik.
Atas papan utama, laptop ini diperkasa cip pemproses Intel Core i5-1235U. Cip ini bukanlah cip baru kerana sudah berusia dua tahun sejak diperkenalkan pada tahun 2022. Cip itu dipadankan bersama RAM DDR5 16GB dan storan PCIe SSD seluas 512GB.
Tiada maklumat mengenai kapasiti bateri, tetapi untuk mengecas, laptop ini menyokong pengecasan pantas 65W.
Antara port I/O yang boleh anda temui pada laptop ini adalah seperti satu HDMI, tiga USB-A 3.2 Gen 1, satu USB-C 3.2 Gen 2, slot kad mikro-SD dan jek audio 3.5mm. Ia juga menyokong WiFi 6 dan dilengkapkan dengan dua speaker yang menghala ke atas laptop.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Acer Aspire 14 terbaru di sini.