Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Komunikasi baru-baru ini telah memperkenalkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa. Pakej tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu pelajar lepasan menengah menangani peningkatan kos sara hidup dengan menyediakan pilihan atau pelan internet internet pada harga lebih murah.
Terdapat lima syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam penawaran Pakej Rahmah Prabayar Siswa ini. Ia adalah Maxis, CelcomDigi, UMobile, TM Unifi Mobile dan YTL Yes 5G, dengan kesemuanya menawarkan data internet berkelajuan tinggi sebanyak 30GB dengan tempoh sah data selama 180 hari atau 6 bulan. Ia boleh mula dilanggan oleh mereka yang layak bermula 16 Ogos 2024.
Golongan yang layak langgan Pakej Rahmah Prabayar Siswa
Untuk lebih jelas, pakej ini layak dimohon oleh pelajar yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang terpilih. Ia terbuka untuk pelajar berusia 25 tahun dan ke bawah, berdasarkan tarikh lahir yang didaftarkan dan bukannya mengikut tarikh kelahiran.
Sementara tiada had dikenakan untuk melanggan Pakej Rahmah Prabayar Siswa ini, ia boleh dilanggan hanya sekali dalam tempoh 180 hari dan boleh melanggannya semula selepas tamat tempoh tersebut. Sekiranya kuota habis digunakan, pengguna juga boleh membeli pas internet tambahan yang tersedia untuk terus melayari internet.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan antara penawaran setiap telco dan cara untuk melanggannya. Oleh itu, ini adalah perkara yang anda perlu tentang Pakej Rahmah Prabayar Siswa untuk setiap telco.
1. Maxis Hotlink
Pakej Rahmah Prabayar Siswa Hotlink boleh dilanggan pengguna prabayar sedia ada dan pengguna baru yang layak. Seperti yang dinyatakan awal tadi, pakej ini menyediakan data 30GB pada harga RM30 dengan tempoh sah laku selama 180 hari. Kuota pas internet boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan, tetapi kelajuan pas dihadkan pada 3Mbps.
Namun, sekiranya anda mempunyai pas internet yang aktif dengan data lebih pantas sewaktu melanggan Pakej Rahmah ini, pas tersebut akan digunakan terlebih dahulu sehinggalah ia tamat tempoh. Misalnya, jika anda ada pas internet dengan kelajuan 6Mbps dan kemudian membeli pas Pakej Prabayar Rahmah Siswa ini, penggunaan internet anda akan ada kelajuan 6Mpbs dan hanya akan beralih kepada kelajuan 3Mbps selepas pas sebelumnya tamat.
Oleh itu, anda juga boleh membeli atau memiliki lebih daripada satu pas dalam satu masa. Selepas pas Pakej Rahmah Prabayar Siswa tamat, anda boleh pilih untuk melanggan semula pakej tersebut.
Cara melanggan Pakej Rahmah Prabayar Siswa di Hotlink
Untuk melanggan, anda boleh mendapatkan Pakej Prabayar Rahmah Siswa di aplikasi Hotlink dengan langkah seperti berikut:
- Langkah 1: Muat turun/Buka aplikasi Hotlink
- Langkah 2: Klik tab internet > Lain-lain > Pilih Pakej RAHMAH Siswa
- Langkah 3: Klik “Beli Sekarang” dan lengkapkan pembelian anda
Ketahui lebih lanjut di laman FAQ Hotlink.
2. CelcomDigi
Berbeza pula dengan CelcomDigi, mereka menawarkan data 30GB berkelajuan tinggi tanpa had dengan tempoh sah selama 180 hari. Data itu boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan termasuk berkomunikasi dalam talian, melayari laman web, penstriman video, permainan dalam talian atau sebarang aktiviti yang menggunakan data.
Katakanlah data 30GB telah habis dipakai, anda boleh melanggan mana-mana pas internet lain CelcomDigi yang ada. Selain itu, tawaran Pakej Rahmah Prabayar CelcomDigi juga hanya boleh dilanggan semula selepas 180 hari selepas daripada pembelian pertama. Jika data 30GB tersebut tidak habis digunakan dalam tempoh 6 bulan, baki tersebut tidak boleh digunakan dan anda boleh memilih untuk melanggan pakej ini semula.
Langganan Pakej Rahmah Prabayar Siswa ini tersedia untuk pelanggan baru atau sedia ada CelcomDigi Prepaid 5G Edisi Biru mahupun Edisi Kuning.
Cara melanggan Pakej Rahmah Prabayar Siswa di CelcomDigi
Pakej Rahmah Prabayar Siswa CelcomDigi tidak boleh didaftar di laman web CelcomDigi, tetapi hanya boleh dilakukan melalui aplikasi Celcom Life dan MyDigi. Berikut adalah caranya:
Melalui aplikasi Celcom Life:
- Langkah 1: Log masuk ke aplikasi Celcom Life
- Langkah 2: Pilih ‘Add-Ons’
- Langkah 3: Pilih ‘Internet’
- Langkah 4: Pilih ‘One Time Pass’
- Langkah 5: Pilih ‘Pakej Rahmah Siswa’ untuk melengkapkan transaksi pembelian.
Melalui aplikasi MyDigi:
- Langkah 1: Log masuk ke aplikasi MyDigi
- Langkah 2: Pilih ‘Buy Add-Ons’
- Langkah 3: Pilih ‘Internet’
- Langkah 4: Pilih ‘On Demand’
- Langkah 5: Pilih ‘Pakej Rahmah Siswa’ untuk melengkapkan transaksi pembelian.
Ketahui lebih lanjut di laman FAQ CelcomDigi.
3. UMobile
Penawaran Pakej Rahmah Prabayar Siswa UMobile turut menyediakan data 30GB berkelajuan tinggi tanpa had untuk rangkaian 4G/5G selama 180 hari. Ia boleh dilanggan oleh pelanggan sedia ada atau baru yang layak melalui pelan prabayar 5G-Ready Prepaid Rate Plan terbaru sahaja. Jadi, sekiranya anda pengguna pelan prabayar lama seperti Unlimited FUNZ, Power Prepaid, anda perlu naik taraf ke pelan baru pelan prabayar 5G-Ready Prepaid Rate Plan terlebih dahulu.
Data yang disediakan boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan termasuk Hotspot. Kalau anda sedang menggunakan pelan Pakej Prabayar Rahmah Siswa, anda juga masih boleh melanggan pelan UMobile lain dan pelan tersebut menggantikan pelan Pakej Prabayar Rahmah Siswa sedia ada sehinggalah kuota pelan itu habis atau tamat tempoh.
Cara melanggan Pakej Rahmah Prabayar Siswa di UMobile
Pelanggan pelan prabayar 5G-Ready Prepaid Rate Plan yang layak boleh melanggan pelan UMobile menerusi aplikasi MyUMobile. Berikut adala caranya:
- Langkah 1: Lancarkan aplikasi MyUMobile
- Langkah 2: Pilih Add-Ons
- Langkah 3: Pergi ke ‘Others’
- Langkah 4: Pilih ‘Pakej Rahmah Siswa’ untuk melengkapkan transaksi pembelian.
Untuk tahu lebih lanjut, anda boleh pergi ke laman FAQ UMobile.
4. Yes 5G
Penawaran Pakej Rahmah Prabayar Siswa Yes 5G paling menarik. Ia menyediakan data dua kali ganda lebih banyak, iaitu 30GB + 30GB menjumlahkan 60GB yang boleh digunakan dengan tempoh sah selama 180 hari pada harga RM30. Data tersebut ada kelajuan 7Mbps untuk rangkaian 4G/5G serta boleh digunakan untuk hotspot. Selepas tamat tempoh, data yang tidak habis tidak boleh digunakan.
Selain itu, perkhidmatan panggilan dan SMS tanpa had juga disertakan dalam pakej ini, tetapi untuk panggilan dan SMS antarabangsa akan dikenakan pada kadar RM0.09/minit dan RM0.09/SMS. Anda boleh mendaftar satu Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada satu-satu masa, dengan syarat anda tidak memiliki lebih daripada 5 akaun Prabayar Yes.
Cara melanggan Pakej Rahmah Prabayar Siswa di Yes 5G
Menariknya, selain aplikasi, anda juga boleh melanggan Pakej Rahmah Prabayar Siswa Yes di Yes Online Store (www.yes.my), stor Yes dan Rakan Niaga Yes. Berikut adalah cara untuk melanggannya di Yes Online Store:
- Langkah 1: Pergi ke laman web www.yes.my
- Langkah 2: Tekan menu di bahagian atas kiri
- Langkah 3: Pilih ‘Promo/Campaign’
- Langkah 4: Pilih ‘Pakej Rahmah Prabayar Siswa’
- Langkah 5: Tekan ‘Buy Now’ melengkapkan transaksi pembelian.
Untuk tahu lebih lanjut, anda boleh pergi ke laman FAQ Yes 5G.
5. Unifi Mobile
Unifi Mobile turut menawarkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga RM30 dengan data 4G/5G tanpa had berkelajuan tinggi sebanyak 30GB dan tempoh sah 180 hari. Data tersebut boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan dan boleh dikongsi untuk kegunaan hotspot. Pakej Rahmah Prabayar Siswa Unifi Mobile boleh didapatkan pengguna sedia ada atau pelanggan baru yang layak sehingga tarikh akhir kempen pada 31 Julai 2025.
Namun, pas ini boleh boleh dibeli sekali sahaja sepanjang tempoh kempen. Sebarang pembelian sebelum atau selepas tempoh kempen tidak berhak untuk dapat tawaran yang sama.
Cara melanggan Pakej Rahmah Prabayar Siswa di Unifi Mobile
Pakej Rahmah Prabayar Siswa Unifi Mobile boleh didapatkan hanya melalui aplikasi Unifi Mobile. Berikut adalah caranya:
- Langkah 1: Lancarkan aplikasi Unifi Mobile
- Langkah 2: Tambah nilai sekurang-kurangnya RM30
- Langkah 3: Pilih ‘Buy Pass’ dan pergi ke ‘Pakej Khas’
- Langkah 4: Pilih ‘Pakej Rahmah Prabayar Siswa’
- Langkah 5: Sahkan pembelian dan terima SMS pengesahan
Untuk tahu lebih lanjut, anda boleh pergi ke laman FAQ Unifi Mobile.