CMF by Nothing telah mengumumkan satu keunikan yang anda boleh lakukan pada penutup belakang telefon Phone 1. Dalam kempen yang dinamakan sebagai Fluid Expression, anda boleh mewarna dan menyesuaikan penutup belakang Phone 1 mengikut kesukaan anda dengan rekaan ‘Fluid Art’. Kempen ini telah pun bermula pada 1 September 2024.
Bagaimana untuk sertai kempen ‘Fluid Art’?
Untuk menyertainya, CMF menawarkan baucar bernilai RM120 untuk anda menghasilkan penutup belakang Phone 1 tersuai dengan ‘Fluid Art’ jika anda membeli CMF Phone 1 dan penutup belakang CMF pada harga RM1,198. Kemudiannya, anda boleh bawa telefon dan baucar ke The Fluid Box, GMBB untuk mewarnakan penutup belakang Phone 1 mengikut kreativiti anda.
Proses untuk mewarnakannya adalah dengan menggunakan cat arkrilik yang boleh disapu pada penutup belakang Phone 1. Sesudah itu, penutup belakang akan diletakkan dengan bahan resin bagi digunakan sebagai penyalut. Penutup akan siap dan boleh diambil pelanggan dalam masa 5 hari.
Baucar tersebut boleh digunakan sehingga 30 November 2024 dan promosi ini tersedia dalam kuantiti terhad. Untuk menempah perkhidmatan bagi menyesuaikan penutup belakang Phone 1, anda perlu DM @thefluid_box di Instagram sekurang-kurangnya 3 hari awal.
Sekiranya anda berminat untuk dapatkan Phone 1 dan penutup belakang CMF Phone berserta baucar ‘Fluid Art’, anda boleh dapatkannya di stor rasmi CMF by Nothing di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi CMF Phone 1
Kuasa utama CMF Phone 1 digerakkan oleh cip Mediatek Dimensity 7300 5G, dibangunkan melalui proses 4nm TSMC. Ia dipadankan dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Kad microSD turut diterima, sehingga 2TB.
Skrin telefon ini jenis Super AMOLED seluas 6.67-inci, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz. Ia ada kecerahan biasa 700nits dan kecerahan puncak setinggi 2,000nits. Pengimbas capjari ada di dalam skrin.
Lubang kecil di dahi skrin, memuatkan kamera hadapan 16MP. Kelihatan ada dua kamera di belakang, salah satunya kamera utama 50MP dengan sensor Sony F1.8, tiada OIS tetapi dilengkapi EIS dan menyokong Ultra XDR. Lensa kedua dipanggil sensor Portrait, membantu untuk tangkapan gambar potret yang mengaburkan latar.
Bateri di dalamnya berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 33W melalui USB-C. Sistem bunyi hanya mono, dengan speaker terletak di bawah telefon. Sistem operasi di CMF Phone 1 adalah Nothing OS 2.6 berasaskan Android 14. Ia dijamin menerima kemaskini OS sebanyak 2 kali dan kemaskini keselamatan selama 3 tahun.
Keunikan CMF Phone 1 adalah pada penutup belakang telefon yang boleh dibuka. Penutup ini boleh diikat ketat oleh 4 skru serta satu dail besar boleh putar. Apabila dibuka, akan kelihatan bateri yang diikat dengan skru lain. Kelihatan seperti bateri ini boleh diganti sendiri oleh pengguna.
Dengan 4 skru dan 1 dail besar ini, CMF Phone 1 boleh dilengkapi dengan pelbagai jenis penutup belakang. Antaranya sarung penegak (stand), penyangkut lanyard, penyimpan card atau sekadar menukar warna penutup. Pastinya ada banyak penggunaan lain di masa akan datang, terutama sekali powerbank.
Terdapat empat warna boleh dipilih untuk CMF Phone 1 iaitu hitam, oren, hijau dan biru. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk CMF Phone 1.