Samsung telah mengumumkan Kejohanan Dota 2 Piala Odyssey yang mengumpulkan pemain profesional dan amatur dari dua rantau iaitu Asia Tenggara (SEA) dan Oceania. Ia bertujuan untuk menyatukan komuniti gaming yang lebih besar berbanding Piala Odyssey tahun lepas. Kejohanan terbaru ini bakal menampilkan penggunaan dua monitor gaming dalam siri Odyssey OLED Samsung, iaitu Odyssey OLED G6 dan Odyssey OLED G8.
Menariknya, terdapat format baru Pro vs Amatur membolehkan para gamer amatur untuk bersaing dengan pemain profesional. Kejohanan ini terbuka untuk gamer berumur 18 tahun ke atas akan diadakan secara dalam talian. Untuk rantau SEA, peringkat kelayakan akan diadakan bermula 21 September sehingga 29 September 2024, manakala pusingan akhir pula akan berlangsung pada 28 dan 29 September 2024.
Pusingan kelayakan akan menampilkan wakil dari enam negara di rantau Asia Tenggara termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Mereka akan berentap dengan empat lagi pasukan profesional untuk merebut tempat dalam perlawanan akhir, dan enam pasukan terbaik akan mara ke pusingan seterusnya untuk perlawanan akhir bersama New Zealand dan Australia.
Sebanyak 8 pasukan yang bertanding untuk merebut gelaran juara dengan hadiah tunai sebanyak USD20,000 (~RM86,729) disediakan. Lebih menarik, perlawanan akhir tersebut akan di Hatten Hotel di Melaka pada 10 Oktober sehingga 13 Oktober 2024.
Dalam pada itu, Leslie Goh, Ketua Penyelesaian Paparan Serantau, Samsung SEA dan Oceania turut menyatakan bahawa mereka kekal komited untuk memajukan sukan melalui inovasi dan kolaborasi. Kejohanan Dota 2 Piala Odyssey merangkumi dedikasi berterusan Samsung untuk menyokong komuniti ‘esports’ dan membentuk masa depan permainan kompetitif.
Spesifikasi Odyssey OLED G8 dan Odyssey OLED G6
Macam yang dikatakan tadi, kejohanan ini akan menampilkan dua monitor gaming Odyssey OLED G8 dan Odyssey OLED G6. Ia diperkenalkan Samsung sewaktu CES 2024 pada Januari lepas. Kedua-dua adalah monitor hadir dengan sistem penyejukan dinamik dan panel paparan OLED dengan teknologi bebas silau. OLED G8 memiliki skrin 32-inci beresolusi 4K (3,840 x 2,160) dengan kadar penyegaran 240Hz.
Sementara itu, OLED G6 pula ada skrin 27-inci dengan kadar penyegaran lebih pantas 360Hz dan resolusi QHD (2,560 x 1440). Untuk port I/O, kedua-dua monitor memiliki port HDMI 2.1, USB-A hub, dan DisplayPort 1.4. Masing-masing juga menjalankan sistem operasi Tizen OS Smart TV.
Untuk maklumat lanjut dan sebarang penyertaan, anda boleh layari laman web Kejohanan Dota 2 Piala Odyssey Samsung.