Macam yang dinantikan ramai, Apple hari ini telah melancarkan siri iPhone 16 terbaru dalam acara yang dikenali sebagai It’s Glowtime. Seperti biasa, Apple masih mengekalkan tradisi dengan pengenalan dua model serupa iaitu iPhone 16 dan iPhone 16 Plus.
Tetapi, selain ciri Apple Intelligence, iPhone 16 juga membawakan banyak perubahan dengan didatangkan dengan butang lebih banyak, cip baharu, sistem kamera lebih baik serta rekaan susunan kamera yang kini menegak.
Skrin dengan kaca 2x lebih teguh
iPhone 16 dan iPhone 16 Plus masih mengekalkan paparan Super Retina XDR OLED dengan kadar penyegaran 60Hz berukuran 6.1-inci dan 6.7-inci. Tetapi, paparan itu dilindungi dengan kaca Ceramic Shield generasi baru yang katanya ada skrin 50% lebih teguh berbanding generasi pertamanya dan 2 kali lebih teguh berbanding telefon pintar lain. Kecerahan puncak skrin masih kekal pada 2,000 nits, sama di iPhone 15.
Di atas skrin, iPhone 16 masih mengekalkan penggunaan Dynamic Island yang boleh paparkan pelbagai notifikasi. Ia juga menempatkan kamera hadapan 12MP.
Selain itu, bingkai iPhone 16 juga ada binaan kukuh yang diperbuat daripada aluminium bergred aeroangkasa. Apple turut menyatakan yang bahagian dalamannya menggunakan rekaan baharu yang mampu untuk mengeluarkan haba dengan lebih efisien.
Cip baharu A18 berprestasi tinggi
Kali ini, Apple menggunakan startegi baharu kerana tidak menggunakan cip generasi lepas pada model Pro untuk varian biasa. iPhone 16 dikuasakan cip A18 yang memiliki 6 teras yang merupakan kombinasi 2 teras berprestasi tinggi dan 4 teras jimat tenaga. Cip ini juga mempunyai 5 teras GPU dan 16 teras NPU.
Menurut Apple, cip ini ada prestasi CPU 30% dan GPU 40% lebih pantas berbanding cip A16 di iPhone 15. Bukan itu sahaja, cip ini juga ada keupayaan ray tracing melalui perkakasan GPU serta kini menyokong pelbagai permainan AAA yang sebelum ini hanya tersedia di iPhone 15 Pro. Bersama cip itu, ia digandingkan dengan pilihan storan sehingga 512GB.
Butang peka sentuhan kawalan kamera
Satu pembaharuan besar yang dibawakan pada iPhone 16 adalah butang peka sentuhan untuk kawalan kamera yang dipanggil ‘Camera Control’. Dengannya, anda boleh zum, laraskan exposure atau bokeh dengan menyapu jari pada butang, serta boleh juga digunakan sebagai butang shutter untuk ambil gambar ataupun video. Tambahan pula, butang ‘Camera Control’ ini juga boleh mengaktifkan Apple Intelligence, misalnya anda boleh mencari maklumat berdasarkan apa objek di dalam bingkai.
Sistem kamera yang dilengkapkan pada iPhone 16 adalah kamera utama Fusion 48MP 26mm F1.6 dengan kemampuan zum optikal 2x. Satu lagi kamera adalah kamera ultralebar 12MP 13mm F2.2, iaitu resolusi sama seperti sebelum ini. Tetapi kamera ultralebarnya telah dipertingkatkan dengan autofokus serta keupayaan untuk tangkapan gambar makro yang sangat jelas.
Apple memaklumkan kamera ultralebarnya juga boleh menangkap cahaya 2.6x lebih banyak yang boleh menawarkan kualiti imej lebih baik kerana penggunaan apertur dan piksel lebih besar. Terdapat juga Photographic Styles yang membolehkan anda mengubah tona dan warna pada sesuatu imej untuk dapat mood yang berbeza.
Selain itu, iPhone 16 ini juga menyokong Spatial capture membolehkan pengguna menangkap gambar dan mengambil video 3D untuk dipaparkan di Apple Vision Pro.
Kini ada butang ‘Action’
Selain butang Camera Control, iPhone 16 juga kini didatangkan dengan butang ‘Action’, ciri yang diperkenalkan pada model Pro tahun lepas. Butang tersebut boleh disuaikan untuk pelbagai fungsi macam untuk hidupkan mod senyap, kamera, lampu suluh dan banyak lagi.
Pengecasan MagSafe lebih pantas
Port USB-C yang digunakan tidak berubah berbanding terdahulu. Ia masih USB 2.0 dengan kelajuan penghantaran data sehingga 480Mbps, tetapi menyokong pengecasan wayarles MagSafe lebih pantas sehingga 25W jika menggunakan blok pengecas berkuasa 30W. Sementara itu, ia juga menyokong pengecasan wayarles Qi2 15W.
Lagi perkara yang ditambah baik adalah bahagian bateri. Walaupun tidak dinyatakan kapasiti bateri yang dilengkapkan pada iPhone 16, masa main video iPhone 16 didakwa Apple lebih panjang sehingga 22 jam berbanding sehingga 20 jam di iPhone 15.
Tahap kekalisan air yang disokong iPhone 16 adalah IP68 dan sejurus keluar kotak, ia menjalankan sistem operasi iOS 18 terbaru yang turut dilengkapi pelbagai ciri Apple Intelligence. Terdapat lima pilihan warna yang ditawarkan untuk iPhone 16 dan iPhone 16 Plus iaitu hitam, putih, pink, hijau dan biru.
Berkenaan harga, iPhone 16 ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM3,999 untuk storan 128GB dan RM4,499 untuk iPhone 16 Plus dengan storan 128GB. Ia lebih murah berbanding harga pelancaran siri iPhone 15 Plus. Dapatkan maklumat lanjut mengenai harga jualan iPhone 16 di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut tentang spesifikasi, anda boleh layari laman produk iPhone 16.