Dengan pelancaran iPhone 16, mungkin ada ramai pengguna di Malaysia yang sedang berfikir untuk menaik taraf iPhone lama mereka ke model yang lebih baharu. Tetapi sebelum itu, terdapat beberapa perkara yang anda perlu pertimbangkan dahulu kerana tidak semua iPhone lama berbaloi untuk dinaik taraf. Oleh itu, dalam artikel ini kami nak membincangkan iPhone lama yang berbaloi untuk dinaik taraf ke iPhone 16.
Harga iPhone 16 di Malaysia
Perkara terpenting adalah berkenaan harga. Kedua-dua iPhone 16 dan iPhone 16 Plus dilancarkan di Malaysia dalam tiga konfigurasi yang sama dan harga rasmi jualannya adalah seperti berikut:
iPhone 16
- 128GB – RM3,999
- 256GB – RM4,499
- 512GB – RM5,499
iPhone 16 Plus
- 512GB – RM5,999
- 128GB – RM4,499
- 256GB – RM4,999
Kekurangan iPhone 15 berbanding iPhone 16
iPhone 16 baharu ini ada beberapa perbezaan dan naik taraf ketara berbanding iPhone 15, walaupun ada sebahagian perkakasan dalaman dikekalkan.
iPhone 15 tidak dilengkapkan dengan dua butang baharu yang iPhone 16 ada, iaitu butang ‘Action’ yang terdahulu hanya dimiliki model iPhone 15 Pro dan Pro Max, bersama-sama dengan satu lagi butang peka sentuhan ‘Camera Control’ untuk kawalan kamera yang lebih versatil.
Selain daripada itu, iPhone 15 juga tidak mempunyai ciri AI melalui Apple Intelligence kerana menggunakan cip Apple A16 dua tahun lepas serta ada RAM kecil 6GB, sementara kapasiti RAM yang diperlukan untuk Apple Intelligence berfungsi adalah 8GB. Malah, sokongan pengecasan wayarles MagSafe di iPhone 15 perlahan 15W berbanding 25W di iPhone 16.
Perkakasan kamera iPhone 15 sebenarnya tidaklah jauh beza dengan iPhone 16. Model iPhone 16 masih didatangkan dengan kamera utama 48MP dan kamera ultralebar 12MP, sama seperti iPhone 15. Tetapi walaupun tahap megapikselnya sama, kamera ultralebar iPhone 16 sedikit berbeza kerana menggunakan apertur yang lebih besar dan mampu untuk lakukan tangkapan makro.
Selain itu, sistem kamera iPhone 15 juga tidak boleh melakukan rakaman video dan audio spatial seperti yang ada di iPhone 16.
Bukan itu sahaja, iPhone 16 turut diberikan rekaan yang baharu dan tidak lagi menggunakan rekaan kamera disusun secara diagonal di iPhone 15 yang sudah pun digunakan sejak iPhone 13.
Sementara iPhone 16 ada terima banyak peningkatan dan pembaharuan daripada iPhone 15, saya rasakan tidak berbaloi untuk pengguna iPhone 15 menaik taraf. Ini kerana iPhone 15 telah pun beralih ke penggunaan port USB-C, ada Dynamic Island, dan menggunakan perkakasan kamera tidak jauh beza dengan iPhone 16.
Prestasi iPhone 15 juga masih cukup berkuasa dikuasakan cip Apple A16, dan butang ‘Action’ serta butang ‘Camera Control’ di iPhone 16 bukanlah satu perkara yang penting. Namun, jika anda memang pentingkan ciri AI, barulah boleh untuk pertimbang naik taraf.
Kekurangan iPhone 14 berbanding iPhone 16
Kalau banding dengan iPhone 16, pastinya iPhone 14 banyak ketinggalan daripada segi spesifikasi dan ciri yang ditawarkan. Sebagai model yang lebih lama, iPhone 14 masih menggunakan port Lightning, ada ‘notch’ di dahi skrin dan kamera utama 12MP tanpa keupayaan zum optikal 2x seperti yang boleh dilakukan kamera utama 48MP di iPhone 16. Hanya boleh zum 1x sahaja.
Bukan itu sahaja, iPhone 14 juga tidak sokong pengecasan terbalik secara berwayar dan ada tahap kecerahan skrin jauh lebih rendah pada 1,200 nits berbanding 2,000 nits di skrin iPhone 16.
Sekiranya pengguna iPhone 14 bercadang untuk menaik taraf, ia memang berbaloi kerana ada banyak peningkatan daripada segi ciri yang ditawarkan. Lagipun penggunaan port Lightning boleh dianggap sudah agak lapuk, telah diperkenal pada tahun 2012 di model iPhone 5.
Kekurangan iPhone 13 berbanding iPhone 16
iPhone 13 masih lagi relevan untuk digunakan pada tahun 2024 kerana diperkasa cip Apple A15 Bionic yang masih lagi cukup berkuasa dan sokong penggunaan iOS 18. Namun, prestasinya tidaklah sebaik iPhone 16 kerana bilangan teras GPU-nya hanya ada 4 berbanding 5 teras di cip Apple A18 di iPhone 16. iPhone 13 juga kehilangan banyak ciri baharu yang diperkenalkan Apple.
Skrin iPhone 13 masih lagi menggunakan rekaan ‘notch’ dan tiada Dynamic Island, bergantung pada port Lightning untuk mengecas, dan ada jangka hayat bateri jauh lebih pendek, 19 jam berbanding 22 jam di iPhone 16.
Selain itu, berbanding iPhone 16, iPhone 13 juga tiada ciri AI Apple Intelligence, dua butang ‘Action’ dan ‘Camera Control’ dan keupayaan untuk lakukan pengecasan terbalik secara berwayar. Kamera utama iPhone 13 juga ada sensor jauh lebih kecil 12MP berbanding 48MP di model terbaharu, tetapi masih dilengkapkan fungsi penstabil imej ‘sensor-shift’.
Namun begitu, iPhone 13 juga tidak memiliki fitur yang diperkenalkan pada iPhone 14, fungsi Emergency SOS melalui satelit, yang juga bermaksud tiada Crash Detection dan sokongan untuk pemesejan melalui SMS di iPhone 13.
Oleh kerana iPhone 13 kehilangan lebih banyak fungsi penting untuk keselamatan serta masih menggunakan port Lightning, adalah berbaloi untuk penggunaan iPhone 13 menaik taraf ke iPhone 16.
Harga iPhone 15 dan 14 kini dah turun
Seperti biasa, seiring dengan pelancaran iPhone, iPhone lama kini telah diturunkan harganya. Dilihat kedua-dua iPhone 15 dan iPhone 14 kini RM500 lebih murah merentasi generasi dan varian storan. Berikut adalah harga jualan untuk iPhone 15 dan iPhone 14 di Malaysia sekarang:
iPhone 15
- 128GB –
RM4,399RM3,499 - 256GB –
RM4,899RM3,999 - 512GB –
RM5,899RM4,999
iPhone 15 Plus
- 128GB –
RM4,899RM3,999 - 256GB –
RM5,399RM4,499
512GB – RM6,399 RM5,499
iPhone 14
- 128GB –
RM3,799RM2,999 - 256GB –
RM4,299RM3,499 - 512GB –
RM5,299RM4,499
iPhone 14 Plus
- 128GB –
RM4,399RM3,499 - 256GB –
RM4,899RM3,999
512GB – RM5,899 RM4,999
Trade-in ke iPhone 16 melalui Apple Store, CompAsia, dan Switch
Bagi anda yang menggunakan iPhone lama dan mahu menaik taraf ke iPhone 16, salah satu cara yang anda boleh lakukan adalah dengan trade-in. Untuk lakukannya, ada tiga saluran yang anda boleh guna sama ada trade-in melalui Switch, Apple Store ataupun CompAsia. Bagaimanapun, perlu diingatkan yang harga yang ditawarkan berbeza untuk setiap saluran dan anda boleh semak harganya melalui artikel kami sebelum ini.