YouTube telah mengumumkan kemas kini untuk Shorts membolehkan pengguna untuk memuat naik video yang lebih panjang. Bermula 15 Oktober 2024, YouTube akan memanjangkan had durasi video ke 3 minit, iaitu 3x lebih panjang berbanding sebelum ini yang terhad pada 60 saat.
Menurut YouTube, had durasi video yang lebih panjang adalah ciri yang sering diminta oleh pencipta kandungan. Oleh itu, kemas kini ini bakal membenarkan pencipta kandungan untuk menceritakan kisah mereka di Shorts dengan lebih fleksibel sehingga 180 saat.
Untuk perbandingan, TikTok telah pun menaikkan had durasi video dari 3 minit ke 10 minit pada tahun 2022, sementara platform di bawah meta seperti Facebook dan Instagram ada had durasi Reel sehingga 90 saat.
Dalam masa sama, perubahan ini turut akan terpakai untuk kedua-dua format video Shorts sama ada melintang ataupun menegak. Manakala, video yang telah dimuat naik sebelum 15 Oktober tidak akan terkesan dengan pembaharuan ini dan YouTube menyatakan mereka akan terus menambah baik cadangan video Shorts berdurasi panjang pada bulan akan datang.
Kemas kini baru lain di Shorts
Di samping durasi video yang lebih panjang, YouTube telah memberikan sejumlah ciri baharu di Shorts. Antaranya, pengguna boleh menghasilkan semula video Shorts yang mereka lihat menggunakan templat. YouTube juga akan membenarkan pengguna mengakses seluruh kandungan YouTube di kamera Shorts, memudahkan video lain digabungkan dengan video Shorts anda.
Selain itu, halaman Shorts di telefon pintar turut ditambah dengan halaman ‘trend’ baharu dan pengguna boleh melihat previu komen terus di halaman video tanpa pergi ke bahagian komen. Jika anda mahu lihat melihat lebih banyak video bukan Shorts, YouTube turut memperkenalkan ‘Show fewer Shorts’. Ciri ini boleh diakses dengan menekan tiga titik di atas kanan halaman Shorts di muka utama YouTube.
[Sumber: YouTube]