Mungkin ramai sedia maklum tentang inisiatif pelesenan media sosial yang akan kerajaan jalankan tidak lama lagi. Untuk perkembangan terkini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan kod tatalaku atau kerangka berkenaan pelesenan media sosial ini akan diumumkan selewat-lewatnya hujung Oktober ini.
Menurutnya, penyediaan draf kod tatalaku sedang giat dibangunkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Kod tatalaku tersebut juga akan menjadi garis panduan yang perlu diteliti oleh platform media sosial dalam tempoh dua bulan sebelum mendaftar untuk lesen media sosial.
Namun, perincian mengenai kandungan kod tatalaku tersebut masih lagi belum ada, tetapi menurut Fahmi, kod tersebut akan berubah mengkut peredaran masa dan perkembangan platform media sosial yang dilesenkan. Fahmi mengatakan kod ini diwujudkan supaya penyedia perkhidmatan faham akan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat yang menggunakan media sosial.
Lesen media sosial akan dikuat kuasa 1 Januari 2025
Seperti yang dimaklumkan SKMM sebelum ini, keperluan pelesenan media sosial ini akan dikuat kuasa bermula bermula 1 Januari 2025. Semua perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Jika ada platform yang beroperasi tanpa lesen selepas 1 Januari 2025, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Justeru, antara platform-platform yang tentunya perlu memohon pelesenan ini adalah seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram, X dan YouTube.
Selain daripada itu, terdapat beberapa akta baru yang akan digubal seperti Akta Keselamatan Dalam Talian dan ia akan diuruskan Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), kata Fahmi.
Tujuan utama pelaksanaan pelesenan perkhidmatan media sosial ini adalah untuk mewujudkan persekitaran lebih selamat bagi pengguna media sosial. Ini berikutan kes scam dan penyalahgunaan media sosial yang meningkat bagi tujuan salah.
Terdahulu, AIC ada mengeluarkan kenyataan menyarankan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan perlesenan media sosial, kerana dikatakan akan memberikan impak negatif dan akan menghalang pelaburan disebabkan kerumitan platform media sosial untuk beroperasi di Malaysia.
Malaysia bukanlah pertama yang menggerakkan inisiatif perlesenan melibatkan platform digital. Singapura turut ada memperkenalkan Akta Keselamatan untun kawal selia untuk platform media sosial yang dikuat kuasa bermula 1 Februari 2023. Manakala, Indonesia pula telah mengimplementasikan pengaharaman transaksi e-dagang di media sosial dan memerlukan lesen untuk menjalankannya sejak ia dikuat kuasa bermula 27 September 2023.
[Sumber: Bernama]