DJI telah melancarkan DJI Air 3S, dron terbaharu dalam siri Air dan merupakan kemas kini daripada Air 3 yang diumumkan DJI sekitar Julai tahun 2023. Model baharu ini diberikan beberapa naik taraf termasuk pada sensor kamera, prestasi HDR serta penderia halangan keliling yang lebih baik.
Daripada luaran, rupa paras Air 3S tidak banyak berubah dan mewarisi rekaan serupa seperti Air 3. Cuma, perbezaan ketara yang boleh dilihat adalah pada bahagian kerangka kameranya. Dron terbaharu ini ada berat 724g, sedikit lebih berat daripada Air 3 pada 720g.
Air 3S masih membawakan sistem dwikamera terdiri daripada kamera utama dan telefoto. Tetapi kini, sensor kamera utamanya lebih besar, iaitu 1-inci 50MP dengan jarak fokal 24mm. Jadi, anda juga boleh jangkakan prestasi rakaman malam lebih baik dengannya. Kamera telefoto pula adalah 48MP dengan jarak fokal 70mm dan ada kemampuan zum optikal 3x, sama seperti sebelumnya.
Keupayaan merakam masih kekal sama pada 4K 120fps, tetapi kedua-dua kamera kini ada tahap Dynamic Range lebih baik mencecah sehingga 14 stops, berbanding sebelumnya sehingga 12.8 stops. Menurut DJI, sistem dwikamera model terbaharu ini ada kualiti rakaman yang dipertingkatkan, mampu merakam video 10-bit dalam format H.265 dan ada tahap ISO maksimum pada 12,800.
Selain itu, Air 3S juga menerapkan fungsi video encoding lebih canggih, katanya menggunakan algoritma mampatan membolehkan fail video disimpan dalam saiz 30% lebih kecil tanpa kompromi kualiti imej. Pun begitu, Air 3S kini memliki storan terbina lebih besar bersaiz 42GB. Waktu penerbangan dron adalah sama seperti sebelumnya sehingga 45 minit dengan jarak perhubungan 20km. Ia juga menggunakan Smart RTH (Return-to-Home) generasi terbaharu memastikan dron kembali ke pengguna selamat.
Lagi yang baru adalah, model Air 3S dilengkapi dengan sensor LiDAR menghadap ke hadapan, dikatakan pertama kali ditampilkan pada dron DJI. Sementara itu, dron ini juga ada sensor time-of-flight inframerah menghala ke bawah bersama-sama dengan enam penderia penglihatan yang diposisikan di hadapan, belakang dan bawah dron.
Dengannya, ia membolehkan dron untuk ada tahap pengesanan halangan keliling dipertingkatkan terutamanya pada waktu malam. Tambah baik,dron ini turut didatangkan dengan ciri ActiveTrack 360 membenarkan dron untuk mengekalkan subjek ditengah-tengah bingkai dan Free Panorama yang menggabungkan beberapa rakaman dengan lancar.
Harga dan ketersediaan DJI Air 3S di Malaysia
DJI Air 3S boleh mula didapatkan di Malaysia sekarang pada harga bermula RM4,599 di Lazada dan Shopee. Ia juga tersedia untuk didapatkan dengan kombo barangan lain pada harga RM5,789 dan RM6,579.
Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman produk DJI Air 3S.
[Sumber: DJI]