ASUS telah menghebahkan bahawa mereka bakal melancarkan telefon pintar terbaru, siri ROG Phone 9 pada bulan hadapan. Majlis pelancarannya akan diadakan secara maya pada 19 November 2024 dan akan berlangsung pada jam 7 malam waktu Malaysia.
ROG Phone 9 akan dikuasakan Snapdragon 8 Elite
Selain daripada tarikh pelancaran, apa yang diketahui adalah siri ROG Phone 9 ini akan dikuasakan cip flagship yang baru sahaja didedahkan Qualcomm, iaitu Snapdragon 8 Elite. Cip ini dijangka akan menawarkan prestasi tinggi kerana menggunakan teras CPU Oryon generasi baharu, teras yang sama digunakan pada SoC laptop Snapdragon X Elite dan GPU Adreno yang dipertingkatkan.
Snapdragon 8 Elite menggunakan proses 3nm dan membawakan beberapa penambahbaikan berbanding Snapdragon 8 Gen 3. Ini termasuk prestasi 45% lebih pantas, kelajuan melayar web 62% lebih pantas, dan 44% lebih cekap tenaga. Di Geekbench 6, ia mencatatkan markah teras tunggal sebanyak 3,221 dan multiteras pada 10,426.
Untuk rujukan anda, cip Apple A18 Pro di iPhone 16 Pro menerima skor sebanyak 3,562 untuk teras tunggal dan 8,814 untuk multiteras.
Masih dilengkapkan lampu mini-LED di panel belakang
ASUS turut berkongsikan rupa paras ROG Phone 9 dan kelihatan ASUS masih mengekalkan rekaan yang serupa dengan generasi lepas, seperti bahagian modul kamera yang sama dan lampu mini-LED di bahagian panel belakang. Cuma kelihatan panel belakangnya kini ditambah logo ROG ditengah-tengah.
Melalui video teaser yang diutuskan oleh ASUS, lampu mini-LED akan didatangkan dengan Anime Vision baharu yang lebih banyak serta menyokong untuk menjalankan permainan retro. Walaupun tiada maklumat tentang kamera, teaser juga menyebut tentang kuasa fotografi AI pada ROG Phone 9, dengan skrin mini-LED itu boleh dijadikan sebagai pemasa untuk tangkapan gambar.
Spesifikasi ROG Phone 9 masih lagi belum didedahkan buat masa ini. Tetapi ia mestilah sekurang-kurangnya memiliki spesifikasi lebih baik berbanding ROG Phone 8. Dijangka siri ROG Phone 9 juga akan menampilkan model Pro dan bukan Pro, tetapi tidaklah pasti sama ada model Pro Edition akan dikekalkan ataupun tidak.
Spesifikasi ROG Phone 8
Sebagai perbandingan, siri ROG Phone 8 menggunakan skrin LTPO AMOLED 6.78-inci FHD+ 120Hz dengan kecerahan puncak 2,500 nits. Ia dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 3 dengan RAM LPDDR5X sehingga 24GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB. Bahagian kameranya dipacu kamera utama 50MP dan kamera ultralebar 13MP, dengan model Phone 8 ada satu lagi kamera makro 5MP manakala model Pro ada kamera telefoto 32MP berkemampuan zum optikal 3x.
Kapasiti bateri yang dimuatkan adalah sebesar 5,500mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 65W USB-C dan 15W secara wayarles Qi. Ia juga ada stereo speaker dengan jek audio 3.5mm, serta dilengkapi butang bahu sentuh AirTrigger untuk keperluan gaming.
Bagaimanapun, maklumat harga ROG Phone 9 sudah tentu hanya akan diketahui apabila ia dilancarkan nanti. Disebabkan Malaysia antara pasaran utama telefon ROG, anda boleh jangka ROG Phone 9 akan tiba juga ke Malaysia. Sebagai rujukan, berikut adalah harga pelancaran siri ROG Phone 8 di Malaysia.
- ROG Phone 8 (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM3,999
- ROG Phone 8 Pro (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,799
- ROG Phone 8 Pro Edition (RAM 24GB + Storan 1TB + Cooler X) – RM5,999
Dalam pada itu, ASUS turut memaklumkan ROG Phone 9 akan dipamerkan buat pertama kali di acara Snapdragon Summit 2024 yang sudah pun berlangsung. Untuk tahu maklumat lebih lanjut tentang ROG Phone 9, nantikan pelancarannya yang akan diadakan dalam masa sebulan lagi.