Pada Mei lepas, Infinix telah selamat melancarkan GT 20 Pro, iaitu telefon gaming mampu milik mereka bagi menggantikan GT 10 Pro. Kini, selepas lima bulan ia dilancarkan, Infinix mengumumkan GT 20 Pro akan menjadi telefon pintar rasmi bagi musim ke-2 kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Academy League (MAL MY).
Perkara ini agak menarik kerana ia menunjukkan GT 20 Pro adalah sebuah telefon berprestasi gaming hebat walaupun berada dalam kategori mampu milik. Kejohanan MAL MY ini akan berlangsung dalam masa terdekat, mulai 24 Oktober hingga 27 Oktober bertempat di Dewan Tan Sri Ainuddin, UTM KL.
Semasa kejohanan ini berlangsung, Infinix turut akan membuka reruai daripada jam 10 pagi sehingga 10 malam dan menyediakan aktiviti menarik serta hadiah bernilai sehingga RM20,000 yang boleh dimenangi pengunjung. Selain itu, terdapat juga hadiah seperti jersi Homebois, item dalam permainan MLBB, fon putik dan banyak lagi.
Lebih menarik, pengunjung yang hadir juga berpeluang untuk berjumpa dan tangkap gambar bersama ahli pasukan Homebois. Di samping itu, seramai 50 peminat bertuah turut boleh memenangi hadiah eksklusif berupa jersi Homebois yang ditandatangan oleh pengasas pasukan Homebois, iaitu Daddyhood. Acara ini khususnya akan berlangsung daripada jam 4 petang hingga 6 petang pada 24 Oktober.
Dalam masa sama, Infinix turut akan mempamerkan telefon-telefon pintar mereka semasa acara ini berlangsung. Jadi, pengunjung boleh mencuba dan merasai pengalaman menggunakan telefon-telefon seperti Zero Flip, Zero 40 5G, GT 20 Pro, Hot 50 5G, Hot 50i and Smart 9.
Spesifikasi Infinix GT 20 Pro
Infinix GT 20 Pro hadir dengan paparan AMOLED 6.78-inci dengan resolusi FHD+. Skrinnya juga menyokong kadar penyegaran sepantas 144Hz dan kecerahan puncak pada 1,300 nits. Daripada segi rekaan, ia memiliki lampu LED pada panel belakang yang dipanggil Mecha Loop yang boleh disuaikan dan menyokong lapan warna dan empat kesan lampu khas.
Atas papan utama, ia dikuasakan cip MediaTek Dimensity 8200 Ultimate 4nm bersama gabungan RAM LPDDR5X 12GB dan storan UFS 3.1 256GB. Selain cip pemproses, Infinix GT 20 Pro turut dilengkapkan sebuah lagi cip khas untuk skrin iaitu Pixelworks X5 Turbo. Cip baharu itu dikatakan mampu untuk meningkatkan kadar bingkai dari 60 FPS ke 120 FPS bagi tawarkan pengalaman gaming lebih lancar.
Untuk menampung prestasi tinggi ini, Infinix telah melengkapkan GT 20 Pro dengan sistem penyejukan Vapor Chamber 73% lebih besar berbanding generasi sebelum ini. Terdapat juga kepingan grafit 68% lebih besar untuk tawarkan pengaliran haba yang lebih baik.
Di jabatan pengimejan, ia dilengkapkan dengan tetapan tiga kamera iaitu kamera utama 108MP mengguna pakai sensor Samsung HM6 dengan OIS, serta kamera makro dan depth yang masing-masing bersolusi 2MP. Di hadapan, terdapat lubang di skrin menempatkan kamera hadapan beresolusi 32MP.
Tenaga telefon disalurkan oleh bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 45W. Lagi ciri lain yang ada termasuk NFC, sokongan 5G, pengimbas cap jari dalam skrin dan speaker stereo yang ditala JBL. Infinix GT 20 Pro akan didatangkan dengan sistem operasi XOS 14 berasaskan Android 14 sejurus keluar kotak. Infinix turut menjanjikan kemas kini Android dua kali dan tiga tahun keselamatan.
Harga Infinix GT 20 Pro di Malaysia
Berminat untuk beli Infinix GT 20 Pro? Ia boleh didapatkan dalam satu varian dengan RAM 12GB dan storan 256GB pada harga RM1,299 di Lazada dan Shopee.
Kalau anda nak tahu lagi lanjut tentangnya, anda juga boleh tonton ulasan penuh kami di YouTube.