Setelah beberapa teaser terbocor di Internet berkenaan telefon dengan rekaan notch terapung oleh beberapa pengeluar, akhirnya honor secara rasminya jadi yang pertama mengkomersialkan rekaan notch ini dengan pelancaran honor V20 (View 20 untuk pasaran antarabangsa).
Selain daripada rekaan notch yang memberikan ruang paparan yang maksimum, bahagian kamera telefon ini juga tak boleh diperlekeh. Menggunakan sensor Sony sebesar 1/2.0″, antara yang terbesar dalam telefon setakat ini, telefon ini diperkasa kamera belakang 48MP sebagai kamera utamanya.
Untuk membantunya mengukur kedalaman medan, kamera sekundernya dilengkapi teknologi Time-of-Flight (ToF), benda yang sama boleh ditemui di telefon R17 Pro. Hasilnya, kesan simulasi bokeh yang terhasil lebih jitu.
Bukan itu, kamera sekunder ini juga boleh menjadi kamera pengesan pergerakan. Contoh aplikasinya adalah seperti bermain game yang melibatkan tarian.
Untuk bahagian paparan, honor V20 diberikan panel HD Penuh 6.4″ dengan cakupan paparan sehingga 91.82%. Notch terapung disudut kiri menempatkan kamera 25MP untuk ber-selfie. Kemasa belakangnya adalah unik, pantulan cahaya bahagian belakang telefon ini berbentuk V, selari dengan nama modelnya.
Pada spesifikasi utama, ia lebih mirip pada Huawei Mate 20 Pro. Anda beroleh telefon yang diperkasa Kirin 980, RAM 6GB atau 8GB, dan storan sehingga 256GB. Tetapi, telefon ini tidak boleh diperluas storannya sama ada melalui mikro-SD ataupun kad nano memory (NM).
Bateri berkapasiti 4,000mAh membekalkan tenaga kepada kesemua kelengkapan telefon ini. Ia ada pengecasan pantas 4.5V pada 5A yang diterjemah pada 22.5 Watt.
Di China, Honor V20 dijual pada harga seperti berikut:
- RAM 6GB + storan 128GB – RMB2,999 (~RM1,815)
- RAM 8GB + storan 128GB – RMB3,499 (~RM2,188)
- RAM 8GB + storan 256GB – RMB3,999 (~RM2,421)
Layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.