Smart Malaysia, jenama EV yang dikendali Proton New Energy Technology (PRO-NET) telah melancarkan program kesetiaan pelanggan, menawarkan ganjaran bagi interaksi yang pengguna lakukan dengan jenama Smart.
Program kesetiaan ini dikuasakan sistem blockchain Geno W3-D2C dan mata ganjaran boleh diperoleh pelanggan melalui aktiviti harian, dengan mata ganjaran tersebut kemudiannya boleh ditebus kepada pelbagai jenis hadiah. Inisiatif ini dikatakan bertujuan untuk menggalakkan pelanggan bersama-sama mencipta dan mengembangkan komuniti Smart.
Cara untuk dapatkan mata ganjaran Smart Points
Untuk mendapatkan mata ganjaran dalam program ini, ia boleh dilakukan melalui aplikasi Hello Smart yang boleh dimuat turun di Google Play Store, App Store dan Huawei App Gallery.
Mata ganjaran untuk program kesetiaan ini dipanggil sebagai ‘Smart Points’ dan pelanggan boleh mengumpul mata ganjaran melalui tiga cara, iaitu Social-to-Earn, Referral-to-Earn dan Purchase-to-Earn. Social-to-Earn memberikan mata untuk interaksi pelanggan dengan Smart di media sosial seperti menekan butang kongsi dan suka di sesuatu hantaran.
Seterusnya, Referral-to-Earn memberikan mata kepada anda dan perujuk sekiranya anda berjaya menjemput rakan untuk mendaftar, pandu uji atau membeli kereta Smart. Akhir sekali, Purchase-to-Earn memberikan mata ganjaran sekiranya anda membeli kereta Smart.
Kesemua interaksi memberikan mata ganjaran yang berbeza. Untuk lebih jelas, anda boleh rujuk rajah di bawah:
Selain tiga cara yang disebutkan di atas, terdapat lagi satu cara untuk memperoleh mata ganjaran iaitu dengan Drive-to-Earn. Namun, ia adalah ciri yang masih sedang dibangunkan Smart, membolehkan pemilik kereta untuk menerima mata ganjaran dengan berkongsi data pemanduan sebagai langkah untuk bantu menambah baik produk Smart.
Tiada tarikh luput untuk mata ganjaran
Menurut Smart, tiada tarikh luput untuk mata ganjaran yang diperoleh dan ia akan disimpan menggunakan kontrak Smart berasaskan blockchain. Mata ganjaran tersebut juga boleh pengguna tebus kepada pelbagai jenis barangan melalui aplikasi Hello Smart dan sesi pengecasan EV secara percuma. Maka, pendekatan ini akan menyediakan lebih penjimatan kepada pemilik EV untuk mengecas kenderaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, “Di smart Malaysia, kami percaya bahawa kesetiaan pelanggan lebih daripada sekadar program ganjaran yang ditawarkan. Inisiatif program kesetiaan pelanggan ini direka untuk mewujudkan hubungan yang erat bersama pelanggan kami dan mengiktiraf penglibatan mereka dengan jenama smart”.
Dalam masa sama, pelancaran program ini juga adalah seiring dengan sambutan ulang tahun pertama Smart Malaysia. Jika anda masih ingat, kali pertama kereta EV Smart yang diperkenal di Malaysia adalah Smart #1 yang dilancar pada hujung November tahun lalu.