Kecoh baru-baru ini apabila kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menguatkuasakan pengharaman aplikasi TikTok, atas alasan untuk mematuhi undang-undang baharu yang memetik tentang kebimbangan keselamatan negara. Tetapi tidak sampai 24 jam perkhidmatannya dihentikan, aplikasi TikTok kini telah pun kembali beroperasi semula di AS.
Perkhidmatan TikTok kembali beroperasi disebabkan bantuan Donald Trump?
Pengaktifan semula TikTok adalah berikutan kenyataan Presiden terpilih, Donald Trump pada Ahad, yang mengumumkan akan mengeluarkan perintah eksekutif untuk menangguhkan larangan TikTok. Pengumuman itu dilakukan oleh Trump dalam satu hantaran yang dibuat di Truth Social, sebuah platform media sosial yang dimilikinya.
“Saya meminta syarikat-syarikat agar tidak membiarkan TikTok terus terhenti! Saya akan mengeluarkan perintah eksekutif pada hari Isnin untuk melanjutkan tempoh masa sebelum larangan undang-undang berkuat kuasa, supaya kita dapat mencapai persetujuan untuk melindungi keselamatan negara kita”, kata Trump dalam hantaran tersebut.
Trump turut menyatakan bahawa perintah itu juga akan memastikan tiada tindakan yang akan dikenakan pada syarikat yang membantu TikTok terus beroperasi, sebelum beliau memerintahkannya. Berdasarkan hantaran yang sama, Donald Trump juga mencadangkan pemilikan bersama yang melibatkan 50% pegangan AS untuk selamatkan dan membolehkan TikTok terus beroperasi.
Walaupun TikTok kembali beroperasi, pengharaman masih berkuat kuasa
TikTok melalui laman X mereka mengumumkan bahawa pihaknya sedang dalam proses untuk memulihkan perkhidmatan mereka. TikTok juga berterima kasih kepada Trump kerana memberikan kebenaran untuk perkhidmatannya diteruskan buat lebih 170 juta pengguna di AS dan membolehkan lebih 7 juta perniagaan kecil terus berkembang.
STATEMENT FROM TIKTOK:
— TikTok Policy (@TikTokPolicy) January 19, 2025
In agreement with our service providers, TikTok is in the process of restoring service. We thank President Trump for providing the necessary clarity and assurance to our service providers that they will face no penalties providing TikTok to over 170…
TikTok menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan Donald Trump untuk mencari penyelesaian jangka panjang untuk membolehkan TikTok kekal beroperasi di AS. Walaupun perkhidmatan TikTok kini boleh diakses semula, aplikasi itu masih tidak boleh dimuat turun di negara tersebut.
Berdasarkan undang-undang yang telah diluluskan oleh kongres AS pada April 2024, aplikasi TikTok di AS perlu dipadam daripada gedung aplikasi dan laman web jika pemiliknya yang berasal dari China, ByteDance tidak menjual operasi mereka di AS.
Tetapi, walaupun Donald Trump memilih untuk tidak menguatkuasakan larangan tersebut, undang-undang yang dah diluluskan masih terpakai, dan pihak-pihak yang membenarkan TikTok beroperasi akan dikenakan tindakan undang-undang dan juga denda yang besar. Pihak yang dimaksudkan termasuk gedung aplikasi seperti Apple dan Google, serta penyedia perkhidmatan awan seperti Oracle.
Kenapa TikTok diharamkan di AS ?
Pengharaman TikTok di AS adalah kerana dikatakan syarikat induknya, ByteDance boleh dipergunakan oleh kerajaan China untuk mendapatkan data maklumat AS.
Undang-undang yang diluluskan kongres AS pada tahun lalu telah memberikan TikTok sehingga 19 Januari 2025 untuk menjual operasinya di AS. Namun, TikTok dan ByteDance mencabar undang-undang tersebut dalam mahkamah pada Jumaat lalu, tetapi telah ditolak sebulat suara oleh mahkamah agung AS.
Oleh kerana ByteDance mengabaikan undang-undang tersebut, ia telah mengakibatkan pengharamannya yang akan dikuatkuasakan pada Ahad. TikTok kemudiannya secara sukrela telah menghentikan perkhidmatan mereka lebih awal pada petang 18 Januari 2024.
Ini membuatkan pengguna di AS atau mereka yang menggunakan VPN berlokasi AS tidak boleh mengakses kandungan pada platform tersebut. Mereka yang membuka laman web tersebut akan disapa dengan pop up seperti berikut.
Donald Trump akan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS yang ke-47 pada hari ini, 20 januari 2025. CEO TikTok, Shou Zi Chew dijangka akan menghadiri perasmian tersebut.
[Sumber: TikTok di X, BBC]