Nothing kini telah mendedahkan bahawa mereka akan melancarkan telefon “a” terbaharu, Nothing Phone (3a) pada awal bulan Mac. Perkara ini dikongsi oleh Nothing melalui teaser video yang dimuat naik di laman media sosial mereka di X dan YouTube.
Majlis pelancaran Nothing Phone (3a) akan diadakan pada 4 Mac 2025, genap setahun selepas Nothing Phone (2a) diperkenalkan pada Mac tahun lalu. Ia akan berlangsung pada jam 6 petang waktu Malaysia dan orang ramai boleh mendaftar minat terhadapnya di laman web Nothing.
Melalui video teaser tersebut, tidak banyak perkara yang didedahkan Nothing berkenaan Phone (3a), selain menunjukkan sekilas panel belakang telefon dengan modul kamera dan tiga bahagian LED Glyph seakan Phone (2a). Terdapat juga perkataan “(3a) Series” pada teaser, menandakan Phone (3a) mungkin terdiri lebih daripada satu model.
Untuk makluman anda, generasi sebelum ini ada menerima versi SE dan Plus beberapa bulan kemudian selepas Phone (2a) dilancarkan. Tetapi tidaklah pasti sama ada iterasi ketiga ini akan mendapat layanan yang sama, atau akan dilancarkan secara serentak.
Buat masa ini, hanya telefon kelas pertengahan Nothing sahaja yang akan telah ditetapkan pelancarannya dan masih tiada lagi perkhabaran tentang barisan flagship terbaharu Nothing. Kali terakhir telefon flagship Nothing yang dilancarkan adalah Phone 2 pada Julai 2023.
Nothing Phone (3a) dikuasakan cip Snapdragon 7s Gen 3?
Walaupun tiada maklumat spesifikasi yang dikongsikan Nothing, kita boleh jangkakan bahawa spesifikasi Phone (3a) pastinya akan lebih baik berbanding Phone (2a). Berdasarkan apa yang diperkata dalam talian, Phone (3a) akan dikuasakan cip Snapdragon 7s Gen 3 4m, bukan lagi cip Dimensity seperti yang terdapat di Phone (2a) dan Phone (2a) Plus. Ia dipadankan dengan RAM 12GB dan storan 256GB.
Skrinnya pula jenis AMOLED berkuran 6.8-inci, lebih besar daripada Phone (2a) tetapi masih ada resolusi FHD+ dan kadar penyegaran 120Hz. Untuk sistem kamera, ia dijangka akan mengguna pakai kamera utama 50MP OIS, kamera ultralebar 8MP serta ditambah dengan lensa telefoto 50MP. Kamera hadapan pula masih kekal pada 32MP.
Dilaporkan kapasiti baterinya adalah sebesar 5,000mAh dan ia sokong pengecasan 45W USB-C. Bagaimanapun, ini hanyalah khabar angin dan untuk spesifikasi sebenar, perlulah tunggu pengumuman rasmi daripada Nothing. Sebagai perbandingan, berikut adalah harga jualan Phone (2a) dan Phone (2a) Plus di Malaysia:
- Nothing Phone (2a) Plus [RAM 12GB dan storan 256GB] – RM1,999
- Nothing Phone (2a) [RAM 12GB + Storan 256GB] – RM1,699