Setelah lama dinantikan, kini Apple telah mengumumkan ahli terbaru dalam keluarga iPhone 16, iaitu iPhone 16e. Ia secara asasnya adalah iPhone mampu milik terbaru dan pengganti kepada iPhone SE generasi ke-3 tahun 2022. Pratempah untuk iPhone 16e akan dibuka bermula Jumaat, 21 Februari dan ini perkara yang anda perlu tahu tentangnya.
Harga dan tempahan awal iPhone 16e di Malaysia
iPhone 16e menjadi model permulaan untuk barisan iPhone terkini dan ini adalah harga jualannya di Malaysia:
- 128GB – RM2,999
- 256GB – RM3,499
- 512GB – RM4,499
Terdapat dua warna yang ditawarkan iaitu hitam dan putih. Jika berminat, iPhone 16e akan boleh dipratempah pada hari Jumaat, 21 Februari 2025 dan akan dijual secara rasmi pada Jumaat minggu seterusnya, 28 Februari 2025.
Spesifikasi iPhone 16e

Kelihatan iPhone 16e adalah iPhone 14 yang telah diperbaharui dengan satu kamera dan menggunakan butang “Action” berbanding butang boleh laras untuk mod senyap. Dimensi keseluruhannya adalah sama dengan iPhone 14, tetapi iPhone 16e sedikit lebih ringat pada 167g. Ia menampilkan bingkai aluminium dengan kaca ceramic shield pada skrin hadapan dan kaca panel belakang.
Skrin iPhone 16e adalah jenis Super Retina XDR jenis OLED 60Hz berukuran 6.1-inci dengan resolusi 2532×1170 dan sokong kecerahan puncak mencecah 1,200 nits. Sama seperti iPhone 14, iPhone 16e ini turut mengguna pakai notch berbanding Dynamic Island yang biasa terdapat pada model iPhone terkini.

Atas papan utama, iPhone mampu milik ini diperkasa cip Apple A18 iaitu cip yang sama diguna pakai di iPhone 16 dan iPhone 16 Plus. Macam yang anda boleh jangka pada iPhone terbaru, iPhone 16e juga sokong Apple Intelligence dan menggunakan port USB-C.
Di jabatan pengimejan, ia hadir dengan satu kamera di belakang, iaitu kamera utama 48MP f/1.6 dengan OIS dan menawarkan tangkapan telefoto 12MP dengan zum 2x menggunakan kaedah sensor cropping. Kamera belakangnya juga dilengkapi ciri flagship seperti Photonic Engine, Deep Fusion, mod Potret dengan kawalan depth, Spatial Audio dan rakaman stereo.

Selain itu, kamera utamanya turut berkemampuan merakam video 4K dengan Dolby Vision sehingga 60fps dan rakaman bergerak perlahan 1080p pada 240fps. Walau bagaimanapun, ia tidak dilengkapi mod “Action” untuk rakaman lagi stabil dan mod sinematik. Untuk selfie, iPhone 16e menggunakan kamera hadapan 12MP f/1.9 yang turut berupaya merakam 4K dengan Dolby Vision.
Untuk ketersambungan, ia menyokong 5G, WiFi 6, Bluetooth 5.3 dan NFC. Namun, tiada sokongan untuk Ultra Wideband (UWB) pada iPhone 16e. Perlu untuk dinyatakan bahawa iPhone 16e ini juga dilengkapi modem 5G C1 yang direka Apple, yang didakwa adalah modem paling cekap tenaga setakat ini. Speakernya adalah jenis stereo dan ia juga diiktiraf kalis air IP68.

Walaupun dikelaskan sebagai iPhone mampu milik, iPhone 16e mempunyai hayat bateri panjang dengan Apple mendakwa ia mampu menawarkan masa main video sehingga 26 jam. Sebagai perbandingan, iPhone 16 menyediakan masa main video sehingga 22 jam manakala iPhone 16 Plus sehingga 27 jam.
Apple juga menyatakan yang ia boleh dicas ke 50% dalam masa 30 minit menggunakan kepala pengecas 20W yang dijual berasingan. Ia juga menyokong pengecasan wayarles Qi dengan kuasa 7.5W, tetapi kehilangan sokongan MagSafe. Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan sistem operasi iOS 18.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk iPhone 16e.