Anda pernah dengar tentang prabayar Happy? Ia dulu ditawarkan sebagai salah satu cabang prabayar di bawah Digi. Kini Digi menghidupkan kembali nama Happy ini, masih lagi prabayar tapi penggunaan yang jauh berbeza.
Digi sebelum ini telah mengumumkan satu kerjasama dengan Mpay dan Mastercard, untuk membangunkan perkhidmatan kad prabayar digital. Ia bukanlah kad sim, sebaliknya ia digunakan seperti kad debit/kredit untuk membuat bayaran.
Bezanya, kad prabayar ini memerlukan pengguna menambah nilai ke dalamnya sebelum boleh digunakan. Kena ada wang di dalam baru boleh guna, macam kad debit.
Kad prabayar digital ini dinamakan Happy Mastercard. Tetapi apa pula bezanya kad prabayar digital?
Ia bermakna, kad ini tiada dalam bentuk fizikal. Pengguna menyimpan kad ini secara digital. Pengguna hanya memerlukan aplikasi mudah alih untuk mendaftar, menyemak transaksi, membuat tambah nilai dan pelbagai fungsi lain, secara digital.
Laman web kad prabayar Happy telah dibangunkan dan boleh diakses di alamat gethappy.my. Pendaftaran masih belum dibuka tetapi mereka telah membuka pendaftaran minat bagi sesiapa yang mahu menjadi yang terawal untuk menggunakannnya apabila dilancarkan nanti.
Dari laman web tersebut, kita boleh melihat beberapa fungsi dan kegunaan kad prabayar Happy ini. Antaranya, kad Happy tidak dikenakan cukai perkhidmatan kerana ia bukan kad kredit atau debit. Pengguna akan menerima notifikasi transaksi dalam masa 15 minit selepas bayaran dibuat. Setiap transaksi akan menerima mata ganjaran yang boleh ditebus kepada pelbagai hadiah.
Sedikit sebanyak, kad prabayar Happy ini berfungsi sama seperti kad prabayar BigPay oleh AirAsia. Kelebihan kad prabayar BigPay ialah tiada caj dikenakan membeli tiket penerbangan AirAsia, terima mata ganjaran BIG AirAsia dan kadar tukaran matawang asing yang sangat menarik.
Adakah kad prabayar Happy boleh memberi tawaran yang berbeza dan lebih baik dari kad prabayar BigPay?
Kad prabayar Happy ini dibangunkan oleh Y3llowLabs Sdn Bhd, salah satu anak syarikat Digi Telecommunications. Y3llowLabs juga membangunkan Vcash, penyelesaian dompet elektronik (e-wallet) yang sudah lama tidak kedengaran khabarnya.