Selain Note 50 Pro+ 5G, Infinix Malaysia turut memperkenalkan dua lagi ahli dalam siri Note 50, iaitu Note 50s dan Note 50x. Untuk mudah beza, Note 50s adalah model kelas pertengahan yang lebih tinggi berbanding Note 50x, walaupun kedua-duanya berkongsi spesifikasi dalaman yang hampir sama.
Harga dan ketersediaan Note 50s & Note 50x di Malaysia

Kedua-dua Note 50s dan Note 50x ditawarkan dalam satu konfigurasi yang sama, dan berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Note 50s (RAM 8GB dan storan 256GB) – RM899
- Note 50x (RAM 8GB dan storan 256GB) – RM699

Kepada yang berminat, kedua-dua peranti boleh mula didapatkan hari ini, 22 April 2025. Pembeli awal Note 50s dan Note 50x juga akan menerima tali telefon bernilai RM49, sementara stok masih anda. Untuk membuat pembelian, anda boleh singgah ke stor rasmi Infinix melalui pautan di bawah:
Spesifikasi Note 50s dan Note 50x

Note 50s dan Note 50x berkongsi spesifikasi dalaman yang hampir sama, tetapi dengan perbezaan perkakasan luaran terutamanya pada bahagian skrin. Note 50s menggunakan skrin AMOLED melengkung berukuran 6.78″ beresolusi FHD+ dan kadar penyegaran 144hz, manakala Note 50x pula menggunakan skrin LCD beresolusi HD 720p dengan kadar penyegaran 120Hz.


Daripada segi rekaan, Note 50s dan Note 5x juga didatangkan dengan kemasan kulit tiruan unik yang boleh mengeluarkan haruman menyegarkan untuk warna “Biru Marine Drift” (Note 50s) dan “Hijau Sea Breeze Green” (Note 50x). Selain daripada itu, Note 50s juga tersedia dalam dua warna kelabu dan merah, sementara Note 50x pula tersedia dalam warna kelabu dan ungu.

Atas papan utama, kedua-dua telefon dikuasakan cip Dimensity 7300 Ultimate dengan kombinasi RAM 8GB dan storan 256GB. Jika RAM tidak mencukupi, RAM boleh digandakan kepada 16GB dengan 8GB RAM maya. Seperti Note 50 Pro+ 5G, kedua-dua telefon ini turut diiktiraf kalis percikan air dan debu IP64.

Perbezaan lain pada kedua-dua model ini terdapat pada kamera. Model Note 50s dimuatkan dengan kamera 64MP, kamera depth dan kamera depan 13MP, manakala model Note 50x pula menggunakan tetapan lebih ringkas, iaitu kamera 50MP dan kamera 8MP. Namun, kedua-duanya didatangkan dengan lampu Active Halo di belakang, yang boleh berinteraksi dengan notifikasi, pengecasan dan panggilan.

Kapasiti bateri pada kedua-dua model adalah sama iaitu 5,200mAh dan menyokong pengecasan 45W. Ia juga dilengkapkan dengan ciri One-Tap AI Infinix dan menjalankan sistem operasi XOS 15 berasakan Android 15. Infinix turut menjanjikan kemas kini OS 2 kali dan keselamatan 3 tahun untuk Note 50s dan Note 50x.