Selepas empat bulan melancarkan RedMagic 10 Pro, kini RedMagic telah memperkenalkan model telefon gaming yang lebih mampu milik, iaitu RedMagic 10 Air. Ia mengekalkan estetik dan ciri gaming yang sama seperti varian Pro-nya, tetapi didatangkan dengan spesifikasi yang sedikit diturun taraf, termasuk menggunakan cip flaghsip dua tahun lepas.
Harga dan ketersediaan RedMagic 10 Air di Malaysia

Sekiranya anda bercadang untuk mendapatkan RedMagic 10 Air, ia boleh dipratempah mulai 5 Mei hingga 31 Mei 2025. Bagi meraikan pelancarannya, RedMagic turut menawarkan promosi pembelian awal, dengan memberikan diskaun sehingga RM800 dan kipas penyejuk RedMagic Cooler 6 Air secara percuma kepada pembeli dalam tempoh yang disebutkan tadi.
Ditawarkan dalam dua varian, berikut adalah harga jualan rasmi RedMagic 10 Air di Malaysia dan ketika promosi:
- RedMagic 10 Air (RAM 12GB dan storan 256GB) –
RM3,199RM2,699 - RedMagic 10 Air (RAM 16GB dan storan 512GB) –
RM4,099RM3,299
Anda boleh dapatkan RedMagic 10 Air melalui stor online RedMagic, serta gedung rasmi mereka di Lazada, Shopee dan TikTok Shop.
Spesifikasi RedMagic 10 Air

RedMagic 10 Air mengekalkan estetik gaming yang sama dengan RedMagic 10 Pro, tetapi hadir dengan rekaan lebih nipis hanya 7.85mm dan berat 205g. Ia menggunakan bingkai rata diperbuat daripada aluminium, manakala panel belakangnya hadir dengan kemasan kaca matte anti-silau yang dikatakan tidak mengutip sebarang cap jari.

Terdapat dua kemasan warna yang disediakan, iaitu putih Hailstone atau hitam Twilight. Seperti biasa dengan telefon RedMagic, RedMagic 10 Air ini turut dilengkapkan dengan butang bahu dan lampu RGB pada modul kamera belakang. Namun, tiada kipas terbina seperti RedMagic 10 Pro.
Selain itu, telefon ini turut hadir dengan Magic Key baharu, iaitu butang yang boleh disesuaikan fungsinya untuk melancarkan Game Space, kamera, terjemahan atau bertukar tetapan bunyi.

Di depan, RedMagic 10 Air dilmuatkan dengan paparan AMOLED 6.8″ berkadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 1,600 nits dengan resolusi FHD+. Paparannya turut menyokong kadar pensampelan sentuh setinggi 2,000Hz untuk pengalaman gaming yang responsif.
Kuasa penggerak utama RedMagic 10 Air adalah Snapdragon 8 Gen 3, iaitu cip flaghsip dua tahun lepas. Cip itu dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan 512GB. Ia juga didatangkan dengan sistem penyejukan 9 lapisan yang merangkumi sebatian penyejuk berasaskan logam pada cip.

Selain itu, RedMagic turut mengatakan mereka melengkapkan telefon ini dengan pemproses ReCore R3 mereka tersendiri, direka untuk mengendalikan fungsi gaming seperti maklum balas haptik, pemprosesan audio dan kawalan lampu RGB. Dengan ini, ia membolehkan cip utama beroperasi dengan lebih cekap, terutamanya ketika menjalankan tugas berat seperti gaming.
Di bahagian pengimejan, RedMagic 10 Air menggunakan kamera utama 50MP dengan OIS dan kamera ultralebar 50MP. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 16MP.

Meskipun memiliki rekaan nipis, kapasiti bateri sebesar 6,000mAh dimuatkan di dalam RedMagic 10 Air, dikatakan RedMagic boleh menawarkan masa penggunaan sehingga 28 jam dalams atu isian penuh. Jika bateri habis, ia boleh dicas pada kuasa 80W melalui USB-C.
Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan RedMagic OS 10 berasaskan Android 15 dan menyokong sambungan seperti 5G, WiFi 7, Bluetooth 5.4 dan NFC. Sistem bunyi telefon adalah jenis stereo berteknologi DTS:X Ultra dengan Snapdragon Sound.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk RedMagic 10 Air.