iQoo telah mengumumkan bahawa mereka bakal membawa masuk iQoo Neo 10 ke pasaran Malaysia. Ini merupakan kali pertama model Neo akan diperkenalkan secara rasmi di Malaysia, setelah sebelum ini hanya ditawarkan ekslusif untuk pasaran China dan India.
Menurut iQoo, ketibaan Neo 10 dijangka bakal menggegarkan pasaran telefon pintar gaming di Malaysia, dengan menawarkan spesifikasi bertaraf flagship, prestasi sepantas kilat dengan harga diluar jangkaan, tanpa tanda harga seperti telefon flagship. Bagaimanapun, nampaknya model Neo 10 yang akan dibawa masuk ke Malaysia adalah sedikit berbeza berbanding di China.
iQoo Neo 10 akan diperkasa Snapdragon 8s Gen 4 baharu
Ini kerana, dalam pengumuman yang sama, iQoo mendedahkan bahawa Neo 10 akan diperkasa cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8s Gen 4. Cip ini baru sahaja diperkenalkan pada awal April, dan menurut iQoo, Neo 10 akan menjadi telefon gaming pertama di pasaran kita yang menggunakannya. Untuk pengetahuan anda, model Neo 10 di China mengguna pakai cip Snapdragon 8 Gen 3.

Selain daripada cip, maklumat lain mengenai Neo 10 masih disimpan rapi pada ketika ini. Tetapi, iQoo ada menyatakan bahawa telefon ini akan menampilkan teknologi penyejukan canggih, paparan terang dengan kadar segar semula tinggi, serta bateri yang tahan lama.

Menerusi imej yang dikongsikan iQoo Malaysia, dapat dilihat bahawa reka bentuk Neo 10 yang akan dilancarkan berbeza daripada Neo 10 di China. Sebaliknya, ia tampil dengan rekaan yang menyerupai iQOO 13, yang telah pun dijual secara rasmi di Malaysia.

Buat masa ini, iQoo juga masih belum berkongsikan tarikh pelancarannya, selain daripada mengatakan yang pelancaran rasmi akan diumumkan tidak lama lagi. Memandangkan Neo 10 juga telah pun muncul di pengkalan data SIRIM sejak hujung April lalu, berkemungkinan pelancarannya akan diadakan sekitar awal atau pertengahan Jun.
Untuk maklumat lanjut, nantikan pengumuman rasmi dari iQoo Malaysia.