Suunto kini telah memperkenalkan jam kecergasan baharu yang direka khusus untuk pelari, iaitu Suunto Run. Selain dilengkapi pelbagai mod khusus untuk larian dan kecergasan, model baru ini juga merupakan jam paling ringan pernah dihasilkan Suunto, serta hadir dengan rekaan yang minimalis.
Berharga sekitar RM1,000, Suunto Run menjadi jam pintar paling mampu milik dalam barisan produk mereka, dan boleh dilihat sebagai pesaing kepada Coros Pace 3.
Harga Suunto Run di Malaysia

Suunto Run dijual di Malaysia pada harga RM1,199, dan ia ditawarkan dalam dua pilihan warna tali nylon, hitam atau kuning buat masa ini.
Sempena pelancarannya, Suunto turut menyediakan Pop-Up Store bertempat di Banglo 289 dari 15 Jun hingga 22 Jun, bermula 10 pagi hingga 11.30 malam. Di sana, orang ramai boleh mencuba sendiri jam pintar Suunto Run baharu dan juga beberapa rangkaian produk lain.
Lebih menarik, mereka yang membeli jam Suunto Run di sana turut akan menerima hadiah ekslusif, iaitu t-shirt dan stokin. Sebagai alternatif, anda juga boleh dapatkannya menerusi stor Suunto di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Suunto Run

Direka khas untuk pelari di semua peringkat, sama ada baru berjinak-jinak atau sudha berpengalaman dalam maraton, Suunto Run hadir dengan rekaan ultra ringan, memiliki berat hanya 36g. Badannya diperbuat daripada polimer yang diperkukuh dengan gentian kaca, dipadankan bersama tali nylon 22mm dengan beberapa pilihan warna.
Untuk melihat skrin, jam ini dilengkapkan dengan skrin AMOLED berukuran 1.32″ dengan resolusi 466 × 466. Skrinnya dilindungi dengan kaca Gorilla Glass, manakala bezelnya pula diperbuat daripada keluli tahan karat.

Bagi keperluan larian, jam ini dilengkapkan dengan ciri-ciri khusus seperti mod maraton, ghost runner dan larian trek untuk pengguna melatih dan pantau progres larian mereka. Selain itu, jam ini turut menyokong 34 mod sukan termasuk seperti mendaki, berbasikal, yoga, tenis dan banyak lagi.

Daripada segi pemantauan kesihatan, Suunto Run dilengkapi sensor untuk menjejak kadar denyutan jantung, tahap oksigen dalam darah, pola tidur untuk pemulihan yang optimum. Ia juga didatangkan dengan aplikasi aplikasi pernafasan untuk pengurusan tahap tekanan, dan diintegrasikan dengan aplikasi Suunto untuk memberikan pandangan tentang latihan, pemulihan dan tahap prestasi pengguna.
Hayat bateri juga panjang, dengan Suunto Run dikatakan mampu menawarkan sehingga 12 hari bagi penggunaan biasa, dan sehingga 20 jam untuk latihan dengan penggunaan GPS berterusan. Untuk menjejak lokasi, jam ini menggunakan GPS dual-band dengan sokongan lima sistem satelit seperti GPS, GLONASS, Galileo, Beidou dan QZSS.






Tambahan pula, storan dalaman 4GB turut disediakan membolehkan pengguna mendengar lagu secara luar talian, dan jam turut serasi dengan aplikasi pihak ketiga seperti Strava, TrainingPeaks, Runkeeper dan banyak lagi.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Suunto Run.