iQoo Malaysia telah mengumumkan ketibaan telefon pintar terbaharu mereka, iQoo Z10 untuk pasaran Malaysia. Ia adalah telefon gaming kelas pertengahan berada di bawah iQoo Neo 10, dan merupakan pengganti kepada iQoo Z9 tahun lepas.
Walaupun harganya lebih rendah daripada iQoo Neo 10, iQoo Z10 tetap hadir dengan spesifikasi menarik seperti cip Snapdragon 7s Gen 3 serta bateri sangat besar 7,300mAh.
Harga iQoo Z10 di Malaysia

iQoo Z10 telah pun mula dijual di Malaysia sekarang. Ia ditawarkan dalam dua varian pada harga seperti berikut:
- iQoo Z10 12GB + 256GB – RM1,399
- iQoo Z10 12GB + 512GB – RM1,599
Kalau berminat, iQoo Z10 boleh dibeli melalui stor rasmi iQoo di Shopee (256GB, 512GB) dan Lazada (256GB, 512GB).

Bagi meraikan pelancarannya, iQoo Malaysia turut menawarkan hadiah percuma bagi pembeli iQoo Z10. Ini termasuk pakej iQoo Shield Plus merangkumi lanjutan waranti 1+1 tahun dan jaminan perlindungan skrin 1 tahun, serta beg galas iQoo. Bukan setakat itu, pembelian yang dibuat di Shopee turut akan disertakan dengan set papan kekunci dan tetikus wayarles.
Tambah menarik, pelajar dan pensyarah turut boleh menikmati diskaun RM100 bagi model 512GB iQoo Z10, dan terdapat tawaran terhad membolehkan anda mendapatkan produk iQoo pada harga serendah RM9.
Spesifikasi iQoo Z10

Melihat pada rekaan, iQoo Z10 kini menampilkan rekaan baharu dengan kamera bulat besar ditengah-tengah, menggantikan modul kamera berbentuk empat segi pada model sebelum ini. Terdapat dua pilihan warna yang tersedia utnuk iQoo Z10 iaitu hitam dan perak.
Di bahagian muka, ia dikenakan dengan skrin AMOLED bersaiz 6.77″ dengan resolusi FHD+ (2392×1080) dan kadar segar semula 120Hz, sedikit perlahan dari 144Hz di iQoo Z9. Tapi ia lebih cerah sehingga 5,000 nits, dan menyokong tahap PWM Dimming setinggi 3840Hz untuk pengalaman tontonan lebih selesa dan bebas flicker.

Kuasa iQoo Z10 digerakkan oleh cip Snapdragon 7s Gen 3 yang dipadankan dengan RAM LPDDR4X 12GB dengan pilihan sama ada storan 256GB atau 512GB, jenis UFS 2.2. Sebagai perbandingan, iQoo Z9 terdahulu menggunakan cip Snapdragon 7 Gen 3.
Kelengkapan kamera iQoo Z10 dilihat tiada perubahan dari model sebelumnya, terdiri daripada tetapan dua kamera belakang. Ia adalah kamera utama 50MP f/1.79 Sony IMX882 dengan OIS, dan kamera depth 2MP f/2.4. Sementara untuk selfie, pengguna boleh manfaatkan kamera depan 32MP f/2.0 yang terletak dalam lubang dahi skrin.
Bateri berkapasiti besar 7,300mAh dimuatkan dalam iQoo Z10, menggunakan teknologi anod silikon generasi ke-3. Ini membolehkan badan telefon kekal nipis pada 7.93mm. Dengan bateri besar itu, iQoo mendakwa telefon boleh menawarkan masa tontonan video sehingga 35.5 jam dan sehingga 14 jam gaming berterusan.

Untuk mengecas, ia menyokong pengecasan FlashCharge 90W, yang dikatkan hanya mengambil masa 33 minit untuk cas dari 1 ke 50%. Manakala untuk gaming, terdapat juga sokongan Bypass charging.
iQoo Z10 turut menyokong 5G dengan dua slot kad SIM, WiFi 6, Bluetooth 5.2, NFC, serta diiktiraf kalis percikan air dan debu IP65. Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan Funtouch OS 15 berasaskan Android 15.
Sebarang maklumat lanjut tentang spesifikasi boleh anda dapatkan di laman produk iQoo Z10.