Selepas memperkenalkan penyaman udara Mijia Air Conditioner Pro Eco dan peti sejuk Mijia Refrigerator Cross Door 510L di Malaysia, Xiaomi kini bersedia untuk memperluas barisan produk peralatan rumah pintarnya dengan apa yang dipanggil, Mijia Front Load Washer 2-dalam-1. Ia dijangka akan tiba di Malaysia awal bulan Ogos.
Kapasiti basuhan 10kg, sokong WiFi

Seperti namanya, Mijia Front Load Washer Dryer ini merupakan mesin 2-dalam-1 yang menggabungkan fungsi basuh dan kering, dengan kapasiti maksimum 10.5kg untuk basuhan dan 7kg untuk pengeringan. Ia menggunakan drum berdiameter 525mm dan dikatakan mampu menyingkirkan bakteria sehingga 99.99%.

Untuk kawalan, mesin basuh ini boleh dioperasikan melalui panel skrin sesentuh berwarna di bahagian atas kanan mesin, atau secara jauh menggunakan aplikasi Xiaomi Home, kerana ia menyokong sambungan WiFi. Xiaomi turut menyediakan 32 program cucian berbeza, termasuk mod “Quick Wash & Dry” yang membolehkan cucian dan pengeringan siap dalam hanya 59 minit
Mesin ini juga hadir dengan ciri “Smart Wash”, iaitu sistem pengesanan beban automatik yang menilai berat cucian untuk mengoptimumkan penggunaan air dan masa, sekali gus membantu menjimatkan tenaga.



Untuk pengeringan pula, terdapat sensor pintar yang mengawal suhu dan masa pengeringan secara automatik. Fungsi “Smart Dry Control” akan menghentikan proses pengeringan apabila pakaian sudah benar-benar kering, jadi anda tak perlu risau baju terlebih panas atau rosak.
Kalau anda jenis yang suka terlupa keluarkan baju dari mesin, fungsi “Refresh Care” akan aktifkan putaran semula secara automatik, supaya pakaian kekal segar dan tak berbau.

Dari segi jaminan kualiti, Mijia Front Load Washer Dryer disertakan waranti 12 tahun untuk motor direct drive. Di pasaran seperti Singapura, mesin ini turut disertakan dengan waranti 2 tahun untuk semua komponen, dijangka pasaran kita turut akan menerima perlindungan yang sama apabila ia dilancarkan kelak.
Harga masih belum diumumkan, anda boleh lihatnya di TRX
Buat masa ini, Xiaomi Malaysia masih belum mengumumkan harga rasmi atau butiran pra-tempahan untuk Mijia Front Load Washer Dryer. Namun, jika anda nak tengok sendiri mesin ini secara fizikal, anda boleh ke kedai baharu Xiaomi di TRX Exchange Mall.