Setelah setahun sejak Pixel 9 dilancar, kini Google telah mengumumkan barisan telefon pintar terbaharu mereka untuk tahun ini, siri Pixel 10. Merangkumi empat model serupa, Pixel 10, Pixel 10 Pro, 10 Pro XL, dan 10 Pro Fold, model asas Pixel 10 kini membawakan beberapa naik taraf terutamanya pada perkakas kamera.
Ini adalah perkara yang yang anda perlu tahu tentang Pixel 10 baharu.
Skrin tidak berubah, guna cip Tensor G5

Bermula dengan bahagian skrin, tidak banyak perubahan yang dapat dicerap pada Pixel 10. Ia masih menggunakan paparan Actura jenis OLED bukan LTPO seluas 6.3″ dengan resolusi 2424 x 1080 dengan kadar segar 60Hz dan 120Hz. Kecerahan puncak yang disokong adalah sehingga 3,000 nits dan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 digunakan sebagai lapisan skrin dan panel belakang.
Di dalam, Pixel 10 dimuatkan dengan cip terbaru Google Tensor G5, yang dikatakan ada 34% prestasi lebih pantas berbanding terdahulu, bersama-sama dengan cip Titan M2 untuk keselamatan. Ini dipadankan dengan RAM sedikit kecil, hanya 12GB dan pilihan storan sama ada 128GB dan storan 256GB.
Akhirnya ada kamera telefoto

Perubahan terbesar pada Pixel 10 adalah pada bahagian kamera. Ini kerana, buat pertama kalinya, Google akhirnya memberikan lensa telefoto pada model asas, meskipun sensornya sedikit lebih kecil berbanding model Pro pada 10.8MP. Namun ia masih dilengkapi penstabil imej optikal (OIS) dan boleh zum jauh, menyokong zum optikal 5x dan Super Zoom sehingga 20x, erti kata lain zum digital.
Modul kamera belakang yang lain merangkumi kamera utama 48MP f/1.7 kuad PD dengan saiz sensor 1/2″ dan kamera utlralebar 13MP f/2.2 kuad PD dengan saiz sensor 1.31″, kiraan megapiksel lebih kecil berbanding sebelumnya. Untuk selfie, kamera depan 10.5MP f/2.2 dengan autofokus masih dikekalkan. Kamera belakang dan depannya mampu merakam pada resolusi 4K sehingga 60fps.
Ciri AI baharu
Lebih menarik, semua model dalam Pixel 10 ini turut dilengkapkan dengan beberapa ciri AI baharu. Antaranya, Camera Coach yang boleh mencadangkan syot terbaik untuk hasil imej lebih baik, menggunakan Gemini. Selain daripada itu, fungsi pengimejan AI seperti Add Me, Pixel Studio, Potrait Blur dan Magic Eraser turut masih hadir pada model terbaharu.
Lagi ciri AI baharu yang ditambah pada siri Pixel 10 adalah Magic Cue, yang berfungsi sebagai pembantu maya dan sambungkan maklumat dari pelbagai aplikasi untuk beri cadangan tindakan terus ikut konteks mesej anda. Kemudian ada juga ciri Voice Translate bagi terjemahan sewaktu panggilan, Take a Message untuk transkrip mesej suara yang ditinggalkan, serta aplikasi Pixel Journal baharu.
Bateri dan pengecasan wayarles Pixelsnap

Dari segi bateri, Pixel 10 dimuatkan dengan kapasiti sedikit lebih besar, iaitu 4,970mAh berbanding 4,700mAh di model sebelumnya. Google mendakwa hayat baterinya boleh mencapai lebih 24 jam, dan sehingga 100 jam dalam mod jimat tenaga.
Menggunakan pengecas 30W, telefon ini boleh dicas ke 55% dalam masa 30 minit, tetapi kepala pengecas tidak disertakan dalam kotak dan perlu dibeli berasingan. Hanya kabel USB-C ke USB-C yang disediakan dalam kotak.
Seperkara baru tentang pengecasan siri Pixel 10 adalah kesemuanya dilengkapi dengan ciri Pixelsnap baharu, iaitu pengecasan wayarles magnetik seakan MagSafe yang berasaskan teknologi Qi 2. Dengannya, Pixel 10 menyokong pengecasan wayarles 15W.
Kemas kini OS panjang

Seperti biasa, Google menjanjikan kemas kini OS dan kesemalatan panjang selama 7 tahun untuk Pixel 10, dan menjalankan sistem operasi Android 16 terkini sejurus keluar kotak. Terdapat juga fungsi keselamatan seperti Emergency SOS, Crisis Alert, Safety Check dan sistem Amaran Gempa Bumi Android.
Telefon ini turut menyokong ciri ketersambungan WiFi 6E, Bluetooth 6, NFC, 5G, namun tiada sokongan Ultra-Wideband seperti di model Pixel 10 lain untuk penjejakan lokasi yang lebih tepat. Pembesar suara yang digunakan adalah jenis stereo dengan sokongan Spatial Audio, menerima dwi-sim dengan satu kad SIM dan satu eSIM, serta pengimbas cap jari dalam skrin.

Selain itu, Pixel 10 turut menggunakan bingai aluminium bergred aeroangkasa dan diiktiraf kalis air dan debu IP68, dengan badan berukuran 8.6mm tebal dan berat 204g. Ada empat pilihan warna tersedia untuk Pixel 10 iaitu ungu, biru, kuning dan hitam.
Harga dan ketersediaan Pixel 10 di Malaysia
Harga jualan rasmi Pixel 10 adalah bermula RM3,999 untuk storan 128GB.
Tempahan awal Pixel 10 juga telah dibuka di Malaysia sekarang dan ia akan dihantar kepada pengguna bermula 28 Ogos. Anda boleh dapatkannya secara dalam talian menerusi Shopee, CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Urban Republic, Sen Heng dan Thunder Match.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Pixel 10.