Sebagai sebahagian daripada pelancaran hari ini, Google turut mengumumkan ketibaan telefon pintar lipat terbaharu mereka, Pixel 10 Pro Fold. Sementara tiada banyak perubahan pada bahagian luarannya, model telefon lipat ketiga Google ini didatangkan dengan ciri lebih canggih, prestasi lebih berkuasa dan lebih tahan lasak.
Menariknya, Pixel 10 Pro Fold juga akan memasuki pasaran Malaysia, buat pertama kalinya sejak Pixel Pro Fold pertama diperkenal tahun 2023. Dan ini adalah perkara yang anda perlu tahu tentang Pixel 10 Pro Fold.
Rekaan sedikit lebih tebal

Dari segi rekaan, Google dilihat tidak terkejar untuk menjadikan telefon lipat mereka paling nipis seperti sesetengah jenama telefon lipat lain seperti Honor Magic V5, Galaxy Z Fold 7 mahupun Oppo Find N5. Malah, model Pixel 10 Fold ini juga sebenarnya 0.1mm lebih tebal berbanding Pixel 9 Pro Fold. Apabila dilipat, Pixel 10 Pro Fold memiliki ketebalan 10.8mm dan 5.2mm dengan lipatan ditutup.
Di luar, telefon ini menampilkan skrin bersaiz OLED 6.4″ beresolusi 1080 x2364 dengan kadar segar semula antara 60Hz dan 120Hz, manakala skrin dalam pula seluas 8″ yang Google gelarkan Super Actua Flex dengan resolusi 2076 x 2152 dengan kadar segar semula adaptif 1-120Hz. Kedua-dua skrin ini turut menyokong kecerahan puncak yang sama pada 3,000 nits.

Untuk perlindungan, Google mengenakan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 pada skrin luar dan panel belakangnya, manakala skrin dalamannya dilindungi oleh kaca Ultra Thin Glass. Selain itu, Pixel 10 Pro Fold juga kalis air dan debu IP68, dikatakan Google pertama untuk telefon lipat dan merupakan naik taraf dari IPX8 dari model sebelumnya.
Tiada angka lipatan tepat diberikan untuk ketahanan engselnya, tetapi Google menyatakan engselnya mampu bertahan untuk lipatan dalam tempoh sehingga 10 tahun.
Diperkasa cip Tensor G5

Seperti telefon Pixel 10 lain, Pixel 10 Pro Fold turut diperkasa cip Tensor G5 3nm baharu dan pemproses keselamatan Titan M2. Cip Tensor G5 ini dikatakan Google ada prestasi CPU 34% dan 60% TPU lebih pantas berbanding sebelumnya. Ini dipadankan dengan RAM sebesar 16GB dan storan dalam tiga saiz, iaitu 256GB, 512GB serta 1TB.
Kapasiti bateri yang dimuatkan di dalam Pixel 10 Pro Fold adalah 5,150mAh, peningkatan dari 4,560mAh di 9 Pro Fold, dan ia boleh dicas ke 50% dalam masa 30 minit menggunakan blok pengecas 30W. Namun, perlu diingat kepala pengecas tidak disertakan dalam kotak dan perlu dibeli berasingan.

Terdapat juga sokongan pengecasan wayarles Qi 2 dengan kuasa sehingga 15W, yang turut menyokong aksesori Pixelsnap Google. Menurut Google, telefon lipat ini boleh menawarkan hayat bateri lebih 24 jam lamanya, serta lebih lama sehingga 72 jam dengan mod jimat tenaga.
Kamera tidak berubah

Berkenaan kamera, tetapan tiga kamera belakang sama seperti Pixel 9 Pro Fold masih diekalkan. Oleh itu, ia mendapat kamera utama 48MP f/1.7 kuad PD, kamera ultralebar 10.5MP dwi PD, dan kamera telefoto 10.8MP f/3.1 dwi-PD dengan sensor saiz 1/3.2″ yang sama diguna pakai di Pixel 10. Kamera telefoto ini menyokong zum optikal 5x dan Super Res Zoom 20x.
Untuk selfie, kamera 10MP dwi PD boleh anda temukan pada skrin luar dan dalamnya.
Lebih menarik, semua model dalam Pixel 10 ini turut dilengkapkan dengan beberapa ciri AI baharu. Antaranya, Camera Coach yang boleh mencadangkan syot terbaik untuk hasil imej lebih baik, menggunakan Gemini. Selain daripada itu, fungsi pengimejan AI seperti Add Me, Pixel Studio, Potrait Blur dan Magic Eraser turut masih hadir pada model terbaharu.
Lagi ciri AI baharu yang ditambah pada siri Pixel 10 adalah Magic Cue, yang berfungsi sebagai pembantu maya dan sambungkan maklumat dari pelbagai aplikasi untuk beri cadangan tindakan terus ikut konteks mesej anda. Kemudian ada juga ciri Voice Translate bagi terjemahan sewaktu panggilan, Take a Message untuk transkrip mesej suara yang ditinggalkan, serta aplikasi Pixel Journal baharu.
Ia turut menggunakan speaker stereo, dan untuk pengalaman gaming yang lebih imersif, Google turut memperkenalkan fungsi game controller baharu pada skrin luar. Fungsi ini membolehkan anda menggunakan skrin luar sebagai kawalan ketika bermain game seperti Asphalt Legends dan Disney Speedstorm. Untuk multitugas, telefon juga menyokong ciri Split Screen dengan dua aplikasi serentak, serta Drag & Drop merentasi aplikasi.


Dari segi ketersambungan, ciri seperti WiFi 7, Bluetooth 6, 5G, NFC dan UWB disertakan pada 10 Pro Fold. Seperti biasa, Google juga menjanjikan kemas kini OS dan keselematan terpanjang, 7 tahun untuk telefon ini. Sejurus keluar kotak ia akan datang siap dengan sistem operasi Android 16, dan ia ditawarkan dalam dua warna hijau gelap dan hitam.
Harga dan ketersediaan Pixel 10 Pro Fold di Malaysia
Google Pixel 10 Pro Fold akan dijual di Malaysia bermula dari RM7,999 untuk storan 256GB.
Kepada yang berminat, Pixel 10 Pro Fold boleh dipratempah bermula hari ini, 21 Ogos tetapi penghantaran sedikit lewat berbanding telefon Pixel 10 lain bermula 9 Oktober 2025. Anda boleh dapatkannya menerusi Shopee, CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Urban Republic, Sen Heng dan Thunder Match.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Pixel 10 Pro Fold.