Selepas mempamerkan Vivo V60 pada KL Fashion Week 2025 beberapa minggu lepas, kini Vivo Malaysia akhirnya telah melancarkan peranti ini secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ia merupakan sekuel kepada Vivo V50 yang dilancar pada Mac lalu.
Walaupun mengekalkan rekaan yang serupa, model terbaru ini didatangkan dengan cip baharu, bateri lebih besar serta tetapan kamera yang lebih lengkap.
Harga dan ketersediaan Vivo V60 di Malaysia

Vivo V60 mula dijual di Malaysia mulai hari ini dan ditawarkan dalam tiga varian dengan harga sama seperti generasi sebelumnya. Berikut adalah harga jualan Vivo V60 di Malaysia:
- 8GB + 256GB – RM,1899 (ekslusif online)
- 12GB + 256GB – RM1,999
- 12GB + 512GB –
RM2,399RM2,299 (promosi pembelian awal)
Sekiranya berminat, anda boleh beli Vivo V60 di stor rasmi Vivo, atau stor Vivo di Lazada dan shopee melalui pautan di bawah:
Spesifikasi vivo V60

Macam yang dinyatakan awal tadi, rekaan V60 tidak terlalu berbubah berbanding V50 terdahulu, dengan perubahan ketara terletak pada susunan modul kamera belakang serta lampu Aura Light, yang kini lebih kecil berbanding generasi sebelumnya. V60 tersedia tiga pilihan warna ungu, biru dan hitam

Skrinnya masih sama, jenis AMOLED bersaiz 6.77″ kuad lengkung dengan resolusi FHD+ (1080 x 2392) dan kadar segar semula sehingga 120Hz. Ia juga menyokong kecerahan puncak 5,000 nits, cakupan warna gamut luas P3, HDR 10+ serta menerima pensijilan SGS untuk paparan tahap cahaya biru rendah.
Prestasi telefon ini digerakkan oleh cip Snapdragon 7 Gen 4 4nm, naik taraf dari Snapdragon 7 Gen 3 yang digunakan sejak tiga generasi lepas pada siri V. Cip itu dikatakan ada prestasi CPU 27% dan GPU 30% lebih pantas berbanding sebelumnya. Ia kemudian dipadankan dengan RAM LPDDR4X seluas 12GB dan dua pilihan storan UFS 2.2, sama ada 256GB atau 512GB.

Dengan susunan modul kamera yang berbeza, sistem pengimejan Vivo V60 turut kini berbeza. Berbanding hanya ada kamera utama dan ultralebar, sistem kamera talaan ZEISS Vivo V60 kini dilengkapi dengan tambahan kamera telefoto periskop 50MP f/2.65, yang menyokong OIS dan zum optikal 3x dan digital 10x.

Baki dua lagi kamera masih kamera utama dan ultralebar. Sementara kamera utamanya masih guna sensor 50MP f/1.9 dengan OIS, ia adalah sensor baru sama yang terdapat di siri Vivo X200. Manakala, kamera ultralebarnya pula guna sensor 8MP, turun taraf dari 50MP di V50. Lubang di atas skrin pula menempatkan kamera selfi 50MP f/2.2 dengan autofokus.

Bateri yang dimuatkan juga kini diperbesar kepada 6,500mAh daripada 6,000mAh, namun pengecasan masih sama 90W UBS-C dan tiada pengecasan wayarles. Telefon ini juga kalis air IP58 dan IP59, ada speaker stereo dan menyokong sambungan Bluetooth 5.4, WiFi 2.4 GHz/5 GHz sert NFC.

Dengan menjalankan sistem operasi Funtouch OS 15 berasaskan Android 15, dan Vivo menjanjikan kemas kini OS selama 4 tahun dan keselamatan 6 tahun pada Vivo V60. Ia turut tampil dengan ciri pengeditan imej AI Studio seperti AI Eraser 3.0, AI Magic Move, AI Image Expander, AI Photo Enhance dan AI Aura Light Potrait.

Terdapat juga AI Four-Season Portrait yang bolehkan anda menukar kesan latar gambar potret dengan empat musim berbeza, namun Vivo menyatakan ia akan tersedia di Malaysia mulai Oktober 2025. Ia turut dilengkapi pembantu maya Gemini dan ciri AI untuk produktiviti seperti AI Caption, AI Smart Assistant Call AI SuperLink.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Vivo V60.