Infinix hari ini melancarkan telefon pintar Infinix GT 30 untuk pasaran Malaysia, sebagai tambahan terbaru dalam siri GT selepas pelancaran GT 30 Pro pada Mei lalu. Ia mengekalkan sebahagian besar rekaan dan ciri utama seperti butang bahu GT Trigger dan sistem pencahayaan pada panel belakang, tetapi hadir dengan tanda harga yang lebih mampu milik.
Menariknya, ini juga kali pertama Infinix memperkenalkan model asas dalam siri GT sejak kemunculan GT 10 Pro pada tahun 2023.
Harga dan ketersediaan Infinix GT 30 di Malaysia

Infinix GT 30 mula ditawarkan di Malaysia bermula hari ini, 11 September, dalam satu varian sahaja. Berikut adalah harga rasminya:
- Infinix GT 30 (RAM 8GB + storan 256GB) – RM1,099
Sebagai perbandingan, harga GT 30 adalah RM200 lebih murah berbanding GT 30 Pro yang bermula pada RM1,299 untuk storan 256GB.
Mereka yang membeli GT 30 akan menerima hadiah GT Gaming Kit bernilai RM129 secara percuma, merangkumi sarung MagCase dan kipas penyejuk. Anda boleh dapatkan Infinix GT 30 baharu ini di stor rasmi Infinix di Lazada, Shopee dan TikTok, serta pengedar sah Infinix di seluruh negara.
Spesifikasi Infinix GT 30

Seperti yang dinyatakan tadi, Infinix GT 30 mengekalkan sebahagian besar rekaan dan spesifikasi seperti GT 30 Pro. Ia turut menampilkan lampu Mechanical Light Waves, sistem pencahayaan di belakang yang boleh berinteraksi dengan notifikasi, muzik dan pengecasan. Terdapat tiga pilihan warna tersedia, hijau, biru dan kelabu sedia ada di GT 30 Pro.
Skrinnya tidak berubah berbanding GT 30 Pro. Model GT 30 menggunakan panel paparan AMOLED bersaiz 6.78″ dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula 144Hz. Ia juga menyokong kecerahan puncak setinggi 4,500nits dan menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 7i sebagai pelindung. Tahap kalis percikan air dan debu yang dimiliki peranti adalah pada paras IP64.

Prestasi GT 30 ini digerakkan oleh cip Dimensity 7400 5G, yang dipadankan RAM LPDDR5X 8GB dan storan UFS 2.2 256GB. Sebagai perbandingan, GT 30 Pro dikuasakan cip lebih berkuasa Dimensity 8350 dan memiliki storan lebih pantas UFS 4.0 dan besar 512GB.
Namun, ia masih mengekalkan sistem penyejukan 3D Vapor Cloud Chamber yang membantu mengalirkan haba dengan lebih berkesan, memastikan peranti kekal sejuk walaupun digunakan untuk sesi gaming panjang. Menurut Infinix, GT 30 turut menerima pengiktirafan permainan kadar bingkai tinggi sehingga 120FPS bagi 10 tajuk popular termasuk MLBB, Free Fire, HOK dan PUBG Mobile.

Sebagai peranti dalam siri GT, GT 30 juga dilengkapkan dengan butang bahu kapasitif GT Trigger. Untuk tenagan, kapasiti bateri yang sama dimuatkan pada GT 30 iaitu 5,500mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 45W melalui USB-C serta pengecasan Bypass. Namun, ia tidak menawarkan pengecasan tanpa wayar seperti yang ada pada model Pro.
Di bahagian pengimejan, GT 30 turut menerima tetapan dwikamera belakang, tetapi menggunakan sensor lebih kecil dan bukan 108MP seperti di GT 30 Pro. Ia adalah kamera utama 64MP f/1.8 dan kamera ultralebar 8MP f/2.2, manakala di hadapan masih terdapat kamera selfie 13MP f/2.2 di lubang atas dahi skrin.

Selain gaming, telefon ini juga datang dengan lebih 25 fungsi AI, termasuk One-Tap Query, ringkasan teks panjang, AI text-to-image, sketch-to-image, AI wallpaper, AI Erase, AI Extend, AI Call Summaries dan banyak lagi. Ia menjalankan XOS 15 berasaskan Android 15 sejurus keluar kotak, dan dijamin terima kemas kini OS 2 kali dan keselamatan 3 tahun.