Realme Malaysia telah mengumumkan akan melancarkan siri Realme 15 pada 18 September 2025, iaitu kesinambungan daripada siri Realme 14 yang diperkenal April tahun ini. Untuk iterasi kali ini, Realme menggelarkan siri ini sebagai telefon AI Pary Phone, dan tampil dengan bateri besar 7,000mAh dengan badan dikatakan paling nipis dalam kelasnya.
Jika anda berminat untuk menonton pelancarannya, ia boleh ditonton secara langsung menerusi saluran rasmi Realme di Facebook, YouTube dan TikTok pada hari Khamis, 18 September jam 6 petang. Selain itu, Realme juga telah mengumumkan tarikh tempahan untuk siri Realme 15 di Malaysia.
Tempahan siri Realme 15 dibuka mulai 18 September

Menurut Realme, tempahan untuk siri Realme 15 akan dibuka pada hari pelancarannya, 18 September sehingga 27 September 2025. Yang menariknya, Realme turut menawarkan hadiah percuma bernilai sehingga RM1,346 kepada pembeli dalam tempoh ini.
Hadiah tersebut merangkumi fon putik Realme Buds T200 Lite, botol tumbler, rebat RM100, lanjutan waranti 1 tahun dan perlindungan skrin selama 1 tahun. Mereka yang berminat boleh menempah siri Realme 15 ini di kedai jenama Realme berdekatan, dengan meletakkan deposit sebanyak RM20.
Dalam masa sama, Realme Malaysia turut berkongsi beberapa spesifikasi siri Realme 15. Namun begitu, spesifikasi penuh untuk Realme 15 dan Realme 15 Pro sebenarnya sudah pun diketahui kerana laman produk kedua-duanya telah tersedia di laman web rasmi Realme Malaysia.
Spesifikasi Realme 15 Pro

Bermula dengan model lebih premium Realme 15 Pro, ia menggunakan skrin berukuran 6.8″ jenis AMOLED dengan resolusi 1280 x 2800 serta kadar segar semula 144Hz. Ia juga menyokong kecerahan biasa 1,800nits dan puncak setinggi 6,500 nits, dengan memiliki tahap PWM Dimming 4,608Hz. Bezelnya pun ultra nipis 1.48mm.

Selain itu, Realme 15 Pro juga dilengkapkan dengan lampu Pulse Light pada modul kamera di belakang, yang boleh berkelip ikut notifikasi, panggilan, alarm, irama muzik. Ia juga berfungsi untuk kiraan detik ambil gambar, isyarat GT Mode, dan boleh sync dengan ciri AI Gemini.

Atas papan utama, Realme 15 Pro diperkasa cip Snapdragon 7 Gen 4 4nm dengan RAM LPDDR5X seluas 12GB dan storan jenis UFS 3.2, dalam dua saiz, 256GB atau 512GB. Ia juga menampilkan penyejuk kebuk wap (vapour chamber) bersaiz 7,000mm2, dikatakan mampu menurunkan suhu CPU sebanyak 20% dan suhu ketika gaming 3.2 darjah.
Untuk bahagian pengimejan, telefon ini dilengkapi dengan tiga kamera 50MP. Ia adalah kamera utama 50MP f/1.8 yang menggunakan sensor Sony IMX 896, kamera ultralebar 50MP f/2.0 dan kamera hadapan 50MP f/2.4. Semua kamera ini turut menyokong rakaman 4K 60FPS.

Bahagian pengimejan siri Realme 15 turut hadir dengan Triple Party AI Algorithm yang memberikan tangkapan potret lebih baik dalam apa jua pencahayaan, AI Snap Mode, AI Landscape, 2K Livephoto serta AI Edit yang membolehkan anda mengedit gambar menggunakan AI. Malah, AI Edit Genie ini juga menyokong kawalan suara dan menyokong lebih 20 bahasa.


Dengan dimuatkan bateri berkapasiti 7,000mAh, Realme mendakwa telefon ini mampu menawarkan masa tonton YouTube sehingga 22 jam dan rakaman 4K 60PS selama 4.46 jam. Jika bateri habis, ia menyokong pengecasan 80W Ultra Charge, membenarkan telefon boleh dicas dari 0% ke 50% dalam masa 25 minit atau penuh dalam masa hanya 61 minit.

Meskipun ada kapasiti bateri besar, Realme 15 Pro hadir dengan rekaan nipis hanya 7.79mm dan berat 178g. Ia juga kalis air dan debu IP69 dan menggunakan kaca Corning Gorilla Glass pada skrinnya. Sistem pembesar suaranya adalah jenis stereo dan ia menyokong sambunganWiFi 6, Bluetooth 5.4 dan 5G.


Ia akan menjalankan Realme UI 6.0 berasarkan Android 15, dan tersedia dalam dua warna iaitu perak dan hijau
Spesifikasi Realme 15

Untuk Realme 15, skrin yang digunakan sedikit lebih kecil berbanding model Pro, iaitu berukuran 6.77″ jenis AMOLED rata dengan resolusi 1080 x 2392 dan kadar segar semula sama 144Hz. Tapi kecerahan puncak yang disokong sedikit lebih rendah pada 4,500 nits dan memiliki tahap PWM Dimming 3,840Hz.

Kuasa Realme 15 digerakkan oleh cip Dimensity 7300+ 5G, yang dipadankan dengan RAM LPDDR4X 12GB dan storan UFS 3.1 256GB. Seperti model Pro, ia juga dilengkapkan dengan penyejuk kebuk wap 7,000mm2.

Untuk kamera, Realme 15 turut menggunakan dua kamera 50MP, iaitu pada kamera utamanya 50MP f/1.8 menggunakan sensor Sony IMX 882 dan kamera depan f/2.4. Manakala, kamera ultralebarnya menerima sensor lebih kecil 8MP f/2.2.

Tiada perbezaan pada segi bateri yang digunakan. Realme 15 turut dibekalkan bateri berkapasiti 7,000mAh dan menyokong pengecasan 80W Ultra Charge. Namun, badannya sedikit lebih nipis 7.66mm dan berat 185g. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu kelabu perang dan merah jambu.


Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Realme 15 dan Realme 15 Pro.