Anda tengah cari telefon pintar bawah RM1,500 di Malaysia? Memang banyak pilihan menarik sekarang, tapi dengan terlalu banyak model baru, nak buat keputusan pun boleh jadi pening. Dengan bajet RM1,500, anda sebenarnya dah boleh dapat telefon yang berkuasa tinggi, kamera cantik, dan bateri tahan lama. Tambahan pula, menjelang hujung tahun ni, beberapa model kelas pertengahan yang dulu dijual lebih mahal kini dah turun harga.
Jadi, kalau anda nak tahu mana satu paling berbaloi, berikut ialah 5 telefon pintar terbaik bawah RM1,500 untuk tahun 2025 yang anda boleh dapat di Malaysia.
1. Infinix GT 30 Pro (12GB+512GB) – RM1,299


Untuk kaki gaming, Infinix GT 30 Pro memang pilihan sangat menarik. Dilancarkan pada Jun lepas, ia ada prestasi cukup tinggi dengan MediaTek Dimensity 8350, RAM besar 12GB dan storan pantas UFS 4.0. Tapi untuk harga bawah RM1,500, anda juga boleh dapat varian storan 512GB. Rekaan GT 30 Pro ni pun menarik dengan lampu “Mechanical Waves Light” di belakang, yang boleh berinteraksi masa gaming.
Tapi buat GT 30 Pro ni lagi menyerlah, ia ada butang bahu GT Trigger, satu ciri yang jarang ada pada segmen telefon gaming bajet. Kemudian kamera pun tak kurang hebat, 108MP untuk utama, ada kamera ultralebar 8MP dan siap sokong pengecasan wayarles 30W dan Bypass Charging lagi. Skrinnya AMOLED-nya pun laju ada kadar segar semula144Hz. Cuma kekurangan GT 30 Pro ini skrinnya tak sokong HDR, baterinya kecil pada standard sekarang, 5,500mAh dan hanya kalis percikan air IP64.
Anda boleh dapatkan Infinix GT 30 Pro di Lazada dan Shopee.
2. Realme 15 5G (12GB+256GB) – RM1,499


Kedua adalah Realme 15 5G, yang baru sahaja dilancar bulan September tahun ini. Kelebihan utama ia hadir dengan bateri besar 7,000mAh dan sokong pengecasan antara terpantas dalam senarai, 80W Ultra Charge melaui USB-C. Selain itu, Realme 15 5G juga ada tahap kalis air IP69, jadi tak perlu risau kalau rendam dalam air. Skrin pun agak cerah sampai 4,500 nits dan dilengkapi sokongan HDR.
Cip yang digunakan berkelas pertengahan Snapdragon 7 Gen 4, tapi ia ada sistem kamera agak hebat guna tiga kamera 50MP, iaitu pada kamera utama, ultralebar dan swafoto. Malah, ia juga ada sistem flagship dengan pelarasan cahaya hangat ataupun sejuk dan lampu Pulse Light dekat belakang boleh berkelip ikut notifikasi, panggilan dan muzik.
Anda boleh dapatkan Realme 15 5G di Lazada dan Shopee.
3. Nothing Phone (3a) (12GB+256GB) – RM1,489


Nothing Phone (3a) ini harga asal pelancaran lebih daripada RM1,600, tapi sekarang anda boleh dapat lagi murah, sekitar RM1,400. Ia hadir dengan rekaan unik dengan lampu Glyph, dan satu-satunya dalam senarai ada kamera telefoto periskop 50MP, boleh zum optikal 2x dan digital sampai 30x. Menariknya, ia juga ada butang Essential Key yang anda boleh gunakan untuk simpan kandungan di skrin ke dalam Essential Space, ruang peribadi yang diuruskan AI.
Skrin pun cukup baik, jenis AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz, HDR10+ dan kecerahan sampai 3,000. Prestasinya berkelas pertengahan guna Snapdragon 7s Gen 3 dengan RAM besar 12GB. Kalau ada kekurangan, Phone (3a) ini hanya kalis percikan air IP64, ada bateri agak kecil 5,000mAh tapi yang bagusnya masih sokong pengecasan cukup pantas 50W USB-C. Lagi kelebihan pada Phone (3a) adalah ia gunakan sistem operasi Nothing OS 3.1 yang lancar dan juga bersih.
Anda boleh dapatkan Nothing Phone (3a) di Lazada dan Shopee.
4. Honor X9d (12GB+256GB) – RM1,499


Honor X9d ini memang sesuai kalau anda jenis selalu jatuhkan telefon, sebab ia ada rekaanpaling tahan lasak. Binaannya tampil dengan 6 lapisan serap hentakan, boleh tahan jatuh setinggi 2.5 meter dan gunakan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2. Ia juga ada penarafan IP69K, tahap kalis air dan debu paling tinggi dalam industri, bolehkan telefon direndam dalam air sedalam 6 meter dan tahan air bersuhu tinggi sampai 85 darjah.
Selain daripada tahan lasak, kelebihan Honor X9d ini lagi ia ada bateri paling besar dalam senarai 8300mAh, katanya boleh bertahan sampai 3 hari dalam penggunaan biasa. Pengecasan pun pantas 66W melalui USB-C, dan kelebihannya lagi ia ada speaker stereo kuat 400%, kamera 108MP skrin AMOLED 120Hz paling cerah sampai 6,000 nits dan satu-satunya hadir dengan pilihan berkemasan kulit.
Anda boleh dapatkan Honor X9d di Lazada dan Shopee.
5. iQoo Neo 10 (12GB+256GB) – RM1,452


Akhir sekali dalam senarai, iQoo Neo 10. Sebenarnya harga asalnya masa dilancar Jun lepas adalah RM1,999, tapi sekarang anda boleh dapat sekitar RM1,400 je dekat Shopee. Boleh dikatakan anda dapat prestasi berkelas flagship, tapi pada harga pertengahan. Dekat dalam, iQoo Neo ini dikuasakan cip Snapdragon 8s Gen 4 dengan gandingan storan pantas UFS 4.1.
Bateri pun cukup besar 7,000mAh dan ia menyokong pengecasan paling laju 120W USB-C, boleh cas telefon dari 1% ke 100% dalam masa hanya 36 minit. Bukan setakat itu, nak cas masa gaming pun tak ada masalah sebab ia sokong Bypass Charging. Sistem kameranya pula guna kamera utama 50MP Sony IMX882, kamera depan 32MP, serta ada skrin AMOLED pantas berkadar segar semula 144Hz, sokong WiFi 7 dan pemancar inframerah untuk kegunaan kawalan peranti rumah.






