Pro-Net kini secara rasmi telah melancarkan Proton e.MAS 5, yang digelar sebagai EV mampu milik pertama di Malaysia. Model hatchback elektrik ini merupakan kenderaan elektrik penuh kedua keluaran Proton selepas Proton e.MAS 7, yang diperkenalkan pada hujung tahun lalu.
Proton e.MAS 5 juga menjadi EV pertama di Malaysia dengan harga rasmi di bawah RM100,000. Buat masa ini, unit pertama akan diimport dari China, namun Proton merancang untuk memasang model ini secara tempatan (CKD) di kilang EV baharunya di Tanjung Malim.
Model ini pertama kali dipertontonkan secara rasmi kepada umum ketika Malaysia Autoshow 2025 pada bulan Mei. Kemudian pada awal Ogos, Pro-Net mula menjelajah seluruh negara melalui Misi 5 Tour, meliputi Semenanjung dan Malaysia Timur bagi memperkenalkan EV ini kepada orang ramai.
Pada bulan yang sama, syarikat itu turut mendedahkan spesifikasi penuh Proton e.MAS 5 Premium, iaitu varian tertinggi model ini, yang tampil dengan reka bentuk dalaman Alabaster White. Sementara itu, spesifikasi untuk varian asas e.MAS 5 Prime diumumkan pada awal bulan ini bersama harga anggaran rasmi untuk pasaran tempatan.
Harga Proton e.MAS 5

Walaupun sebelum ini dianggarkan berharga antara RM60,000 hingga RM80,000, harga rasmi Proton e.MAS 5 ternyata lebih rendah daripada jangkaan. Berikut ialah senarai harga rasminya:
- Proton e.MAS 5 Prime: RM72,800
- Proton e.MAS 5 Premium: RM59,800
Berita baiknya terdapat rebat pelancaran bernilai RM3,000 sehingga 31 Disember, membolehkan kedua-dua varian dibeli pada:
- Proton e.MAS 5 Premium: RM69,800
- Proton e.MAS 5 Prime: RM56,800
Proton e.MAS 5 ditawarkan dalam lima pilihan warna, dengan dua warna eksklusif untuk varian Premium, Marble Cream dan Quartz Rose. Kedua-dua warna ini turut didatangkan dengan rekaan dalaman Alabaster White.

Tiga warna lain yang ditawarkan ialah Graphite Silver, Moonstone White, dan Slate Grey, masing-masing dipadankan dengan dalaman Flint Grey. Ketiga-tiga warna ini boleh didapati untuk kedua-dua varian Prime dan Premium.
Pakej pelancaran Proton e.MAS 5

Proton e.MAS 5 ditawarkan dengan pakej pelancaran bernilai sehingga RM8,000, yang merangkumi:
- Power Xchange – Rebat RM2,000 untuk pelupusan kenderaan lama yang tidak lagi layak di jalan raya
- Power Online – Data Internet tanpa had selama 5 tahun bernilai RM1,800
- Power Financing – Pembiayaan 5 tahun dengan kadar faedah 1.98% melalui Proton Commerce bernilai RM1,700
- Power Home – Pengecas rumah 7kW bernilai RM1,500
- Power Trade-in – Rebat tukar beli eksklusif melalui Carsome bernilai RM1,000
Spesifikasi Proton e.MAS 5

Macam yang dinyatakan awal tadi, Proton e.MAS 5 hadir dalam dua varian, termasuk varian tertinggi e.MAS 5 Premium. Ia dikuasakan oleh bateri LFP 40.16kWh bersama motor 85kW (114hp) yang menghasilkan tork 150Nm. Dengan konfigurasi ini, varian Premium mampu mencatat jarak pemanduan sehingga 325km berdasarkan piawaian WLTP.

Sementara itu, varian e.MAS 5 Prime dilengkapi dengan bateri LFP 30.12kWh serta motor 58kW (78hp) dengan tork 130Nm. Disebabkan kapasiti baterinya lebih kecil, jarak pemanduannya juga lebih pendek, sekitar 225km (WLTP).

Dari segi pengecasan, kelajuan pengecasan DC untuk e.MAS 5 Prime tidak didedahkan semasa pelancaran, namun Pro-Net sebelum ini menyatakan bahawa ia mengambil sekitar 21 minit untuk mengecas dari 30% hingga 80%. Masa pengecasan DC ini hampir sama dengan e.MAS 5 Premium, yang mempunyai kelajuan pengecasan DC pada 71kW.
Kedua-dua varian turut menyokong pengecasan AC 6.6kW (1 fasa). Untuk pengecasan penuh (10% ke 100%), e.MAS 5 Prime mengambil masa sekitar 4.3 jam, manakala e.MAS 5 Premium memerlukan kira-kira 5.9 jam kerana kapasiti baterinya lebih besar.

Ciri tambahan eksklusif untuk varian Premium termasuk rim aloi 16 inci, kamera 360 darjah, lampu utama LED, serta pintu but berkuasa (powered tailgate). Ia juga dilengkapi dengan sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang merangkumi fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward & Rear Collision Warning (FCW/RCW), Lane Change Assist (LCA), Blind Spot Detection (BSD) dan banyak lagi.





Kedua-dua varian Premium dan Prime turut berkongsi pelbagai ciri lain seperti ruang frunk 70L, ruang simpanan bawah tempat duduk belakang 28L, ruang but antara 375L hingga 1,320L, paparan infotainment 14.6 inci Full HD dengan sistem Atlas Auto OS, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, peta pengecasan EV masa nyata, sokongan aplikasi Proton e.MAS, tempat duduk kulit sintetik (leatherette), sistem pacuan roda belakang (RWD), dan suspensi belakang jenis multi-link.






