Vivo Malaysia agak senyap apabila mula menjual model baru NEX Dual Display di Malaysia awal tahun ini. Tetapi mereka nampaknya tidak akan berdiam diri untuk melancarkan siri-V terbaru.
Di dada Facebook Vivo Malaysia hari ini, mereka berkongsi sebuah video pendek yang memperlihatkan tentang sebuah telefon pintar dengan kamera bermotor yang boleh disembunyikan di belakang skrin. Ia konsep yang sama dengan telefon pintar Vivo NEX. Di akhir video tersebut, ia menyatakan Vivo V15/V15 Pro akan datang.
Dengan ini, sahlah bahawa telefon pintar baru Vivo yang akan datang ke Malaysia tidak lama lagi ialah Vivo V15 dan V15 Pro. Kedua-dua model ini akan dilengkapi kamera hadapan bermotor yang boleh disembunyikan, sama seperti Vivo NEX.
Kamera hadapan ini akan menggunakan sensor 32MP, dikatakan pertama seumpamanya di dunia. Sayangnya, tiada maklumat lain berkenaan telefon ini dikongsikan.
Tetapi sudah ada khabar angin di alam maya berkongsi info tentang Vivo V15 Pro. Antaranya, ia akan dikuasakan cip Qualcomm serba baru, Snapdragon 675. Perkara ini disahkan lagi menerusi satu penemuan di laman Geekbench, yang menguji sebuah peranti misteri, Vivo 1818.
Selain itu, Vivo V15 Pro akan menggunakan paparan Super AMOLED, serta pengimbas capjari di dalam skrin seperti Vivo V11. Ia akan disertakan RAM sebanyak 6GB dan storan dalaman 128GB.
Di kamera hadapan ia menggunakan sensor 32MP, di belakang pula ia dilaporkan akan dilengkapi tiga lensa. Lensa utamanya 48MP, bakal menyaingi telefon pintar seperti Honor View 20 dan Redmi Note 7 yang turut memiliki lensa 48MP. Manakala lensa kedua dan ketiga di Vivo V15 pro pula ialah 8MP dan 5MP. Tidak dimaklumkan jenis lensanya tetapi dijangka lensa telefoto dan lensa pengesan kedalaman untuk menghasilkan gambar bokeh.
Di India, Vivo akan melancarkan Vivo V15 dan V15 Pro pada tanggal 20 Februari 2018. Dikhabarkan, Vivo V15 Pro akan dijual di India dengan harga sekitar rs25,000 (~RM1,422). Untuk perbandingan, sewaktu pelancarannya tahun lepas, Vivo V11 dijual pada harga RM1,699 manakala Vivo V11i pula RM1,299.