iQoo Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan di laman media sosial bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar flagship terbaharu iQoo 15 tidak lama lagi di Malaysia. Selari dengan itu, iQoo juga telah membuka tempahan untuk milikinya dengan memberikan hadiah menarik.
Peranti ini pertama kali dilancarkan di China pada Oktober 2025 dan merupakan sekuel kepada iQoo 13 yang dilancar disember tahun lalu. Dan ya, iQoo memang melangkau nombor 14. Model baharu ini membawarkan peningkatan termasuk dari segi prestasi, kamera dan bateri.
Tempah iQoo 15 dan dapat hadiah bernilai RM1,370

Kepada yang berminat, mulai sekarang hingga 8 Disember 2025, anda boleh menempah awal iQoo 15 dengan bayaran RM9.90, dan akan menerima hadiah bernilai sehingga RM1,370. Hadiah termasuk baucar tukar beli RM100, sarung iQoo 15, fon telinga TWS iQoo Buds Air, sarung jari iQoo Gaming Fingersleeves, serta lanjutan waranti 2 tahun dan waranti skrin retak.
Walaupun pengumuman sudah dibuat, iQoo masih belum mendedahkan tarikh pelancaran rasmi. Namun, besar kemungkinan pelancarannya akan berlangsung dalam beberapa hari sahaja lagi.
Spesifikasi iQoo 15

Dari segi reka bentuk, iQoo 15 tidak berubah banyak berbanding model sebelumnya. Namun boleh dilihat tampil dengan badan lebih rata, serta dengan kemasan panel belakang baharu yang dikatakan boleh bertukar warna, dinamakan edisi ZEN, selain warna putih. Di depan, ia menggunakan skrin sedikit lebih besar AMOLED LTPO 6.85” (3168×1440) dengan kadar segar semula 144Hz, bersama pengimbas cap jari ultrasonik di dalam skrin.
Atas papan utama, ia dikuasakan cip flagship paling baharu Qualcomm, Snapdragon 8 Elite Gen 5. Di China, ia boleh digandingkan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB Ultra dan storan UFS 4.1 1TB. Untuk memastikan prestasi stabil, ia juga dilengkapi ruang penyejukan wap bersaiz 14,000mm².

Untuk kamera, iQoo 15 masih menawarkan tetapan tiga kamera belakang 50MP, ditemani kamera swafoto 32MP di depan. Ada juga jalur LED di sekeliling modul kamera belakang untuk efek pencahayaan tambahan.
Membekalkan kuasa ialah bateri silikon-karbon 7,000mAh, hampir 14% lebih besar daripada iQoo 13. Namun, pengecasan berwayar kini sedikit perlahan pada 100W berbanding 120W sebelum ini. Sebagai ganti, iQoo 15 menyokong pengecasan tanpa wayar 40W serta bypass charging.
Untuk perisian, ia menjalankan OriginOS 6 berasaskan Android 16. Sokongan sambungan termasuk 5G, WiFi 7, Bluetooth 6.0, NFC dan port USB-C 3.2 dengan OTG.






