Selepassetahun memperkenal iQoo 13, kini iQoo telah mengumumkan ketibaan flagship terbaru mereka untuk pasaran Malaysia, iQoo 15. Model flagship terbaru ini hadir dengan beberapa peningkatan termasuk dari segi prestasi, bateri, selain rekaan yang lebih rata dengan panel belakang boleh bertukar warna.
Harga dan ketersediaan iQoo 15 di Malaysia

Untuk mereka yang berminat, iQoo boleh ditawar dalam tiga varian dan berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- iQoo 15 (12GB + 256GB) – RM3,699 (ekslusif online)
- iQoo 15 (16GB + 512GB) – RM3,899
- iQoo 15 (12GB + 1TB) – RM4,299 (ekslusif online)

iQoo 15 boleh dipratempah dari hari ini, 9 Disember hingga 11 Disember, dan mereka yang membuat pembelian dalam tempoh ini turut akan menerima hadiah bernilai sehingga RM1,239 termasuk fon putik iQoo Buds Air baharu, baucar tukar beli RM100, lanjutan warant 1+2 tahun, diskaun sehingga 30% untuk produk lain terpilih, serta tambahan hadiah berbeza bergantung pada platform pembelian.
Anda boleh beli iQoo menerusi Lazada, Shopee dan TikTok Shop, melalui pautan di bawah:
Shopee
Lazada
TikTok
Spesifikasi iQoo 15

Walaupun reka bentuk iQoo 15 tidak berubah banyak berbanding model sebelumnya, model baru baru ini tampil dengan badan lebih rata. Ia juga hadir dengan kemasan panel belakang baru boleh bertukar warna apabila terkena sudut cahaya tertentu edisi Zen, dan juga warna putih edisi Legend. Terdapat juga sistem pencahayaan lampu LED di sekeliling modul kameranya yang boleh diselaraskan dengan aksi dalam game.

Di bahagian depan, iQoo 15 menerima skrin sedikit lebih besar berukuran 6.85”. Ia menggunakan panel 2K M14 LEAD keluaran Samsung, serta menyokong kadar segar semula 144Hz, kecerahan puncak 6,000 nits dan cakupan warna NSTC 118%. Menariknya, skrinnya turut menggunakan teknologi Polarization-Free Natural Light yang bantu mengurangkan silau dan distorsi warna, selain memiliki Sijil TÜV Rheinland Full Care Display untuk berikan perlindungan kepada mata pengguna.
Turut disertakan ialah pengimbas cap jari ultrasonik di dalam skrin dan telefon diiktiraf kalis air dan debu IP68&69. Bahagian audionya menggunakan pembesar suara Symmetrical Drum Master Speakers dengan Gaming HyperSense Audio dikatakan menghasilkan bunyi yang kuat dan tepat.

Kuasa penggerak utama iQoo 15 adalah cip flagship paling baharu Qualcomm, Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang bergandingan dengan RAM LPDDR5X Ultra Pro sehingga 16GB dengan kelajuan pemuatan pantas sehingga 10.7Gbps, serta storan UFS 4.1 sehingga 1TB. Untuk memastikan prestasi stabil, telefon juga dilengkapi sistem penyejukan VC 8K menampilkan ruang penyejukan wap bersaiz 14,000mm².
Sistem pengimejan iQoo 15 masih menawarkan tetapan tiga kamera belakang 50MP untuk kamera utama, telefoto dan ultralebar. Untuk zum jauh, kamera telefotonya menyokong zum optikal 3x, zum lossless 6x dan maksimum digital sehingga 100x. Lubang di atas skrin menempatkan kamera swafoto beresolusi 32MP.

Membekalkan kuasa pada iQoo 15 ialah bateri silikon karbon 7,000mAh, hampir 14% lebih besar daripada iQoo 13. Namun, pengecasan berwayar kini sedikit perlahan pada 100W berbanding 120W sebelum ini. Sebagai ganti, iQoo 15 menyokong pengecasan tanpa wayar 40W serta bypass charging.



Untuk perisian, ia menjalankan OriginOS 6 berasaskan Android 16, yang menurut iQoo dikuasakan Origin Smooth Engine yang memberikan pengalaman lancar sehingga lima tahun. iQoo turut memberikan sokongan kemas kini OS 5 tahun dan 7 tahun keselematan untuk iQoo 15. Sokongan sambungan termasuk 5G, WiFi 7, Bluetooth 6.0, NFC dan port USB-C 3.2 dengan OTG.






