Samsung telah mengumumkan bahawa mereka bakal memperkenalkan ciri privasi baharu pada peranti Galaxy akan datang. Menurut kenyataan yang diterbitkan di laman berita rasmi Samsung, ciri ini merupakan satu lapisan privasi tambahan untuk melindungi paparan skrin telefon ketika anda menggunakannya di tempat awam, di mana maklumat peribadi mudah dilihat oleh orang sekeliling.
Lindungi skrin daripada diperhatikan
Samsung mengatakan ciri ini direka untuk menghalang orang lain daripada mengintai kandungan pada skrin, sekali membolehkan pengguna membaca mesej dan memasukkan kata laluan di tempat awam tanpa rasa bimbang.
Berdasarkan video demo yang dikongsikan oleh syarikat itu, teknologi ini boleh memalapkan serta menyembunyikan piksel pada skrin apabila ia dilihat dari sudut tertentu, termasuk ketika memaparkan kata laluan, PIN dan notifikasi.
Samsung turut menjelaskan bahawa lapisan privasi baharu ini hadir dengan tetapan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna. Pengguna boleh mengaktifkan perlindungan untuk aplikasi tertentu atau apabila memasukkan butiran untuk mengakses sesuatu. Bukan setakat itu, terdapat juga tetapan untuk melaras tahap keterlihatan skrin, membenarkan pengguna mengehadkan apa yang boleh dilihat orang lain.
Selain itu, pengguna juga boleh memilih untuk melindungi paparan notifikasi yang muncul di skrin. Pendekatan ini memberi kawalan yang lebih spesifik, membolehkan ciri tersebut dilaraskan atau dimatikan sepenuhnya, berbanding menggunakan satu tetapan menyeluruh.
Gambaran awal bagaimana ciri ini berfungsi
Untuk memberi gambaran bagaimana ciri ini berfungsi dalam penggunaan sebenar, penganalisis terkenal Ice Universe ada berkongsi video berkaitan teknologi ini yang dipamerkan ketika MWC 2024. Ia diperkenalkan sebagai teknologi “Flex Magic Pixel”, yang menggabungkan penjanaan AI dan teknologi OLED untuk mengawal keterlihatan paparan skrin dari sudut tertentu.
If you still don’t have a clear idea of what the private screen on the Galaxy S26 Ultra is, just watch this video. Once you do, you’ll immediately understand why this is easily the most marketable feature of the S26 Ultra. pic.twitter.com/93uTzFAR5Y
— Ice Universe (@UniverseIce) January 15, 2026
Menurut hantaran tersebut, teknologi ini dilaporkan bakal digunakan pada Galaxy S26 Ultra, walaupun perkara ini masih belum disahkan secara rasmi oleh Samsung.
Dalam hantaran lain, Ice Universe turut berkongsikan imej yang menunjukkan ciri ini berfungsi pada sebuah peranti, yang kelihatan seperti model Galaxy Ultra akan datang. Menariknya, perlindungan privasi ini boleh diletakkan pada bahagian spesifikasi skrin, sebagai contoh hanya pada notifikasi, sementara bahagian skrin lain kekal dipaparkan seperti biasa.


Samsung menyatakan ciri privasi ini dibangunkan melalui lebih lima tahun proses kejuruteraan, ujian dan penambahbaikan. Sepanjang tempoh tersebut, Samsung mengkaji cara pengguna menggunakan telefon pintar, jenis maklumat yang dianggap peribadi, serta bagaimana ciri keselamatan sepatutnya dirasai dalam penggunaan harian.
Mungkin hanya tersedia di Galaxy S26 Ultra
Buat masa ini, Samsung masih belum mengesahkan peranti Galaxy mana yang akan menerima ciri privasi baharu ini. Syarikat itu hanya menyatakan bahawa ia akan diperkenalkan kepada peranti Galaxy dalam masa terdekat.
Namun, berdasarkan khabar angin dan laporan oleh 9to5Google, ciri ini dikatakan berkemungkinan eksklusif untuk model Ultra dalam siri Galaxy S26, yang dijangka diperkenalkan sekitar hujung Februari.






